PKR, DAP Sabah Lumpuh, Pemimpin Kanan Keluar Parti

KOTA KINABALU – Pakatan pembangkang di negeri ini lumpuh selepas pemimpin kanan PKR dan DAP mengumumkan keluar parti berkuat kuasa serta-merta.

 

Pengumuman keluar beramai-ramai itu diketuai oleh Pengerusi Perhubungan PKR Sabah, Datuk Seri Lajim Ukin yang disertai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Moyog daripada PKR, Terrance Siambun; Setiausaha PKR Sabah, Datuk Majjol Mahap dan Ketua Wanita PKR Sabah, Johair Matlani.

 

Selain pemimpin PKR, ADUN Likas daripada DAP, Junz Wong; Timbalan Pengerusi DAP Sabah, Joan Goh; Naib Pengerusi DAP Sabah, George Hiew dan tujuh lagi Exco DAP Sabah turut meninggalkan parti dan menyatakan soko­ngan kepada Lajim.

 

Lajim yang juga Ketua Pembangkang Dewan Undangan Ne­ge­ri (DUN) Sabah berkata, keputusan tersebut dibuat selepas hilang keyakinan terhadap kemampuan PKR dan DAP untuk mendapat sokongan rakyat Sabah dalam pilihan raya umum akan datang.

 

Sehubungan itu katanya, beliau dan para pemimpin yang ber­samanya akan memberi fokus kepada parti politik tempatan baharu yang akan ditubuhkan nanti.

 

“Keputusan ini yang bakal menggoncang politik Sabah dan disertai pemimpin kanan PKR serta DAP, telah diambil selepas mengambil kira situasi yang memerlukan kita memikirkan semula hala tuju politik negeri.

 

“Saya dan rakan-rakan telah berjumpa dengan segenap lapisan rak­yat Sabah terdiri daripada kakitangan kerajaan, petani, nelayan, peniaga dan banyak lagi yang me­nyuarakan hasrat untuk melihat parti-parti tempatan Sabah bergabung,” katanya ketika membuat pengumuman tersebut di sini semalam.

 

Lajim yang juga ADUN Klias berkata, beberapa ketua cabang PKR telah menyertai beliau iaitu dari Kota Marudu, Papar, Tuaran, Putatan, Kimanis, Sipitang, Keningau, Beluran, Batu Sapi dan Silam.

 

Sementara itu, dalam sidang akhbar selepas itu, beliau mengesahkan telah menghantar permohonan pada 19 September lalu kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) untuk menubuhkan sebuah parti politik baharu yang akan disertai oleh pemimpin ber­kenaan serta penyokong mereka.

 

Katanya, parti tersebut akan mencari jalan untuk bekerjasama dengan parti politik tempatan yang lain bagi menewaskan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum akan datang.

 

“Saya telah berbincang dengan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal (bekas Naib Presiden UMNO) berhubung kerjasama itu tetapi masih belum ada kata putus dibuat sehingga kini.

 

“Sekarang kami hanya menunggu proses penubuhan parti baharu selama 21 hari selesai dan selepas itu barulah kami akan berbincang mengenai kerjasama itu,” katanya. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.