Netizen Kritik Nyanyian Fazura Di Konsert GP F1

Sejak semalam majoriti netizen mengkritik nyanyian pelakon Fazura ketika menyampaikan lagu Cheap Thrills, dendangan asal Sia sempena Grand Prix Malaysia (GP) Formula Satu (F1) di konsert Litar Antarabangsa Sepang, pada Ahad.

 

Dalam konsert tersebut, Fazura seorang daripada artis yang membuat persembahan pembuka untuk ikon R&B terkenal dunia, Usher yang berlangsung selepas tamatnya perlumbaan sukan terkemuka dunia itu.

 

Segelintir daripadanya beranggapan ia satu persembahan yang hambar daripada pelakon dan penyanyi itu.

 

Seorang daripadanya, menyifatkan penyanyi itu sebagai teruk.

 

“U are a bad singer !!!, (kamu adalah penyanyi yang teruk),” tulis faezaaahg

 

Bagaimanapun, positif dengan kritikan itu, Fazura yang memuat naik gambar konsert bersama kapsyen di laman Instagramnya mengakui dirinya bukan Adele atau Beyonce.

 

Pelakon dan penyanyi itu juga tidak lepas peluang mengucapkan terima kasihnya kepada pihak penganjur dan menyifatkan peluang yang diberikan sebagai sebuah impian yang menjadi kenyataan apabila dapat menghiburkan ribuan penonton di konsert tersebut.

 

Pemenang trofi Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke 27 itu tidak ketinggalan memberikan ucapan penghargaan kepada penonton yang menyaksikan persembahannya.

 

“Tiada kata yang mampu saya luahkan, apabila dapat membuat persembahan dalam konsert ini. Saya bukan Adele atau Beyonce. Tetapi saya berterima kasih kepada tuhan kerana memberikan peluang kepada saya untuk berkongsi minat saya bersama anda. Terima kasih kerana turut sama menyanyi, menari dan memberikan tenaga yang positif kepada saya,” tulisnya.-SuaraTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.