Gesa Tahan Individu Ganggu Konvoi Bersih 5

SHAH ALAM – Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Perak meminta pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap sekumpulan individu yang didakwa cuba mengganggu konvoi Bersih 5 yang diadakan di Perak, kelmarin.

 

Pengarah Komunikasi Amanah Perak, Muhammad Faeez Azahar berkata, tindakan undang-undang perlu diambil bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

 

“Kami kesal dengan tindakan sekumpulan individu yang datang bertindak kasar terhadap konvoi Bersih 5. Konvoi aman yang bermula dari Lumut menghala ke Teluk Intan itu telah diancam serta diganggu gugat oleh kumpulan itu.

 

“Kumpulan ini bermaharaja lela dan seolah-olah menganggap diri mereka kebal daripada sebarang tindakan menyebabkan mereka berani untuk melakukan tindakan jenayah yang jelas melanggar undang-undang. Mereka seperti tidak takut untuk ‘beraksi’ biarpun dikelilingi pihak polis yang datang menjalankan tugas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Perjalanan Konvoi Bersih 5 yang berlangsung di Perak, kelmarin sedikit terganggu dengan kehadiran sekumpulan individu yang didakwa cuba mengugut dan merencatkan perjalanan program.
Kekecohan dilihat berlaku seketika ketika kedua-dua pihak bertembung dan bendera Bersih 5 cuba dirampas oleh kumpulan terbabit.

 

Kaa Muhammad Faeez lagi, tindakan kumpulan itu yang disifatkan keterlaluan dan mengancam nyawa itu tidak wajar dibiar secara berleluasa.

 

“Kami meletakkan harapan tinggi agar pihak berkuasa memainkan peranan mereka dengan mengenakan tindakan terhadap kumpulan itu. Ini sangat penting bagi memastikan kredibiliti institusi polis tidak terjejas.

 

“Kami harap insiden seperti itu tidak berulang lagi pada konvoi yang akan diteruskan minggu ini, polis diharap bertindak lebih tegas bagi membendung tindakan liar kumpulan tersebut,” katanya lagi.-Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.