Tragedi MH 17: Lima Lagi Jenazah Diberi Istiadat Penghormatan

Sepang – Lima lagi jenazah mangsa tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 termasuk sepasang suami isteri diberi penghormatan penuh adat ketenteraan di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini Jumaat.

Dengan ketibaan lima jenazah hari ini, sebanyak 42 jenazah telah dibawa pulang ke tanah air dari Belanda. Dua lagi rakyat Malaysia belum dapat dikesan atau dikenal pasti mayat mereka.

Suasana pilu dan hiba menyelubungi kawasan istiadat apabila pesawat MAS penerbangan MH19 yang membawa tiga keranda dan dua kendi abu mayat memasuki perkarangan kompleks.

Istiadat penghormatan bermula pada 8.38 pagi apabila pesawat tersebut berhenti sepenuhnya.

Keranda pertama yang membawa jenazah Matthew Ezekial Sivagnanam dibawa keluar dari pesawat tersebut diikuti kendi abu mayat pasangan suami isteri Lee Kiah Yeen dan Liew Yau Chee, diikuti keranda Muhammad Arfuz Tambi dan Meling Mula.

Kendi abu mayat Lee dan Liew diletakkan bersama-bersama dalam sebuah kenderaan jenazah atas permintaan waris.

Keranda dan kendi abu mayat yang diliputi dengan Jalur Gemilang diturunkan dari pesawat dan diusung kumpulan pengusung Angkatan Tentera Malaysia ke kenderaan jenazah dengan penuh adat ketenteraan.

Sebaik selesai proses kesemua keranda dan kendi abu mayat dimasukkan ke dalam kenderaan jenazah, upacara bertafakur selama seminit berlangsung pada 8.58 pagi sebagai tanda penghormatan.

Kenderaan jenazah kemudian melakukan lintas lalu di hadapan khemah tetamu kehormat dan waris.

Hadir pada istiadat tersebut ialah Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai dan waris keluarga mangsa tragedi.

Selesai istiadat penghormatan, jenazah Afruz Tambi, anak bongsu Allahyarham Tambi Jiee dan Allahyarhamah Ariza Ghazalee yang turut terkorban dalam tragedi itu diterbangkan menggunakan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia C130 ke Kuching, Sarawak pada 9.43 pagi.

Keranda yang membawa jenazah Meling pula diterbangkan menggunakan pesawat C130 ke Bintulu pada 9.45 pagi.

Sebanyak 44 warga Malaysia, termasuk seorang yang mempunyai dua kerakyatan, berada dalam pesawat Boeing 777-200 ketika dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur apabila ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai.

Penerbangan MH17 itu membawa 298 penumpang termasuk 15 anak kapal.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.