Pengurangan Subsidi Minyak Untuk Jaga Kepentingan Rakyat – Najib

Pekan – Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berkata langkah kerajaan mengurangkan subsidi minyak adalah untuk menjaga kepentingan rakyat dan negara bagi tempoh jangka panjang.

Perdana menteri berkata walaupun tindakan itu tidak popular namun ia harus dilakukan memandangkan subsidi bahan api yang ditanggung oleh kerajaan setiap tahun amat tinggi.

Beliau berkata jika langkah itu tidak diambil, ia bakal meninggalkan kesan kepada ekonomi Malaysia berikutan kekurangan hasil untuk perbelanjaan negara.

“Tahun lepas subsidi bahan api petrol, LPG dan diesel berjumlah RM24 bilion dan ia bukan jumlah yang kecil.

“Jika jumlah itu kita tidak kurangkan boleh menyebabkan kita tak cukup hasil untuk menampung perbelanjaan kerajaan,” katanya ketika berucap pada majlis penyampaian watikah dan wakalah lembu korban untuk kawasan Parlimen Pekan sempena sambutan Aidiladha Ahad ini, di sini.

Pada majlis yang turut dihadiri Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob itu, Najib yang juga Anggota Parlimen Pekan, menyerahkan 505 ekor lembu untuk seluruh kawasan parlimen berkenaan.

Beliau berkata pada masa yang sama, kerajaan akan mengumumkan pelbagai langkah untuk membantu rakyat menghadapi masalah pengurangan subsidi minyak dalam pembentangan Belanjawan 10 Okt ini.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, berkata langkah itu termasuk pemberian subsidi bersasar terus kepada rakyat seperti bantuan persekolahan, Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan bantuan lain yang akan diumum kelak.

“Dalam bajet akan datang, sudah tentu kita akan fikir bagaimana nak bantu rakyat supaya bantuan terus sampai kepada mereka dan kurangkan ketirisan supaya ekonomi lebih kukuh, pertumbuhan ekonomi meningkat dan lebih banyak (hasil) yang boleh kita bagi kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata kerajaan juga akan mengkaji semula pemberian subsidi pukal bahan api berikutan berlaku kes ketirisan terhadap pengagihan bahan api berkenaan kepada rakyat di negara ini.

“Ini kerana subsidi bahan api ketika ini turut dinikmati oleh orang yang lebih kaya, pelancong, pekerja asing dan pekerja asing tanpa izin.

“Malah baru-baru ini ketika Pilihan Raya Kecil Pengkalan Kubor, saya dapati minyak diesel kita banyak diseludup keluar dari Rantau Panjang untuk dijual di seberang sana (Thailand),” katanya.

Dalam pada itu, Najib turut mengingatkan rakyat agar menjadikan elemen pengorbanan sebagai asas dalam mencapai kejayaan.

“Kalau kita sanggup berkorban dengan ikhlas hati tanpa mengharapkan apa-apa ganjaran, insya-Allah, kita akan mendapat ganjaran yang setimpal,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.