Mukhriz Seru Rakyat Kedah Miliki Fahaman Moderat

Alor Setar – Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir hari ini menyeru kepada seluruh rakyat di negeri ini supaya mempunyai fahaman moderat agar tidak mudah terpengaruh dengan unsur-unsur yang boleh memecahbelahkan perpaduan antara kaum.

Beliau berkata sekiranya rakyat berbilang kaum tidak boleh duduk bersama sebagai sebuah masyarakat yang harmoni, situasi itu akan melahirkan suasana tidak elok dalam sebuah negara majmuk.

“Saya merayu supaya biarlah penduduk di Kedah mempunyai fahaman yang moderat, elakkan terpengaruh dengan pihak yang cuba menarik anda ke kiri atau ke kanan.

“Biarlah kita duduk di tengah-tengah untuk menjaga kepentingan secara umum, sedikit kita korbankan lebih banyak (kebaikan) kita akan nikmati dan ia perlu dijaga,” ucapnya pada Hari Persahabatan dan Penyampaian Sumbangan Kepada Warga Emas dan Fakir Miskin anjuran Pertubuhan Kebajikan San Sheng di Taman Putra Jaya
di sini hari ini.

Beliau berkata pelbagai program misalnya aktiviti kebajikan adalah contoh sangat baik bagi memupuk perpaduan antara masyarakat pelbagai kaum yang merupakan elemen penting dalam menentukan kemajuan sesebuah negeri.

Katanya, sekiranya perpaduan dapat dijaga, akan wujud sebuah negeri yang aman makmur dan berjaya dalam setiap perkara yang diusahakan demi manfaat setiap golongan rakyat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.