MH17 : Jenazah Anak Bongsu Tambi Jiee Selamat Dikebumikan

Kuching – Jenazah Muhammad Afruz Tambi, anak bongsu pasangan Tambi Jiee dan Ariza Ghazalee, mangsa nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 selamat dikebumikan bersebelahan anggota keluarganya yang lain di Tanah Perkuburan Islam Semariang di sini.

Jenazah dikebumikan pada 2.31 petang bersebelahan pusara bapanya, Tambi, 49, ibunya, Ariza, 46, dan tiga adik-beradiknya yang turut terkorban dalam tragedi pesawat MAS yang ditembak jatuh di Donetsk, Ukraine pada 17 Julai lepas.

Ariza dan anak sulungnya, Muhammad Afif, 19, dikebumikan pada 22 Ogos lepas sebelum diikuti Tambi pada 9 Sept lalu.

Jenazah Muhammad Afzal, 17, dan Marsha Azmeena, 15, dikebumikan pada 19 Sept lepas.

Sebelum itu keranda yang membawa jenazah Muhammad Afruz, 13, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pada 11.35 pagi menaiki pesawat khas Tentera Udara Diraja Malaysia dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL.

Sejurus tiba, jenazah diberi penghormatan penuh adat ketenteraan dan diusung oleh sembilan anggota Rejimen Keempat Kor Armor Diraja sebelum dibawa menggunakan van jenazah ke Masjid Jamek Kuching untuk disembahyangkan.

Upacara solat jenazah diketuai Imam Bahagian Masjid Islam Sarawak, Ustaz Abdul Aziz Wan Yusof, selepas selesai solat Jumaat.

Turut hadir Menteri Kerja Raya Datuk Fadillah Yusof; Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim dan Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri Sarawak (Hal Ehwal Islam) Datuk Daud Abdul Rahman.

Allahyarham Muhammad Afruz, merupakan anggota keluarga terakhir dalam enam sekeluarga berasal dari Kuching itu yang dikenal pasti jenazahnyanya.

Sebanyak 44 warga Malaysia, termasuk seorang yang mempunyai dua kerakyatan, berada dalam pesawat Boeing 777-200 ketika dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur apabila ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai.

Penerbangan MH17 itu membawa 298 penumpang termasuk 15 anak kapal. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.