Jenazah Afruz Antara Lima Mangsa MH17 Dibawa Pulang Hari Ini

Sepang – Lima lagi jenazah warga Malaysia yang nahas dalam pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17 tiba di tanah air dan akan diberi penghormatan dalam Istiadat Ketenteraan di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA), hari ini.

Lima jenazah yang tiba pagi ini adalah Matthew Ezekial Sivagnanam, pasangan suami isteri Liew Yau Chee dan Lee Kiah Yeen, Meling Anak Mula dan Muhammad Afruz Tambi.

Daripada lima jenazah ini, tiga jenazah dalam keranda, manakala dua jenazah (pasangan suami isteri-Liew Yau Chee dan Lee Kiah Yeen) akan dibawa dalam bekas abu.

Abu Liew Yau Chee dan Lee Kiah Yeen akan dibawa ke Nirvana Sungai Besi manakala jenazah Matthew Ezekial Sivagnanam pula akan dibawa ke St. Fatima Church di Brickfields.

Sementara itu, jenazah Muhammad Afruz dan Meling Anak Mula pula akan diterbangkan menggunakan pesawat C130, masing-masing ke Kuching dan Bintulu.

Setakat ini, 42 jenazah rakyat Malaysia telah berjaya dibawa pulang dan ini bermakna dua lagi jenazah rakyat Malaysia yang masih belum dikenal pasti.

Penerbangan MH17 dari Amsterdam ke KLIA ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai lalu, menyebabkan semua 298 penumpang dan anak kapal termasuk 44 rakyat Malaysia terkorban.

Ikuti istiadat penghormatan jenazah kumpulan keenam jenazah nahas MH17 seperti berikut:

8.58 Pagi: Kesemua mangsa tragedi telah selamat diturunkan. Sesi bertafakur selama seminit bermula.

8.56 Pagi: Keranda milik mendiang milik Lee Kian Yeen dan Meling Anak Mula dibawa turun dan masing-masing akan dibawa ke Nirvana Sungai Besi dan diterbangkan ke Bintulu, Sarawak.

8.52 Pagi: Keranda ketiga milik Allahyarham Muhammad Afruz Tambi yang merupakan anak pasangan kepada Tambi Jiee, 49,dan Ariza Ghazalee, 46, yang turut nahas dalam penerbangan MH17.

8.50 Pagi: Abu milik Liew Yau Chee,50 selamat dibawa turun daripada pesawat dan akan dibawa ke Nirvana Sungai Besi.

8.46 Pagi: Keranda Pertama dibawa turun milik mendiang Matthew Ezekial Sivagnanam,9.

8.42 Pagi: Pesawat komersial, MH19 yang membawa lima jenazah tiba di Kompleks Bunga Raya, KLIA.

8.35 Pagi: Turut hadir untuk memberi penghormatan terakhir kepada lima jenazah yang  melibatkan seorang beragama Islam dan empat bukan beragama Islam adalah Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein dan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.