Elaun Empat Jawatan Utama Perlu Dikaji – Azmin

Shah Alam – Kenaikan elaun empat jawatan utama akan dikaji semula dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada November akan datang.

Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali berkata, empat jawatan itu adalah Menteri Besar, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco), Speaker, dan Timbalan Speaker DUN.

Memetik laporan The Malaysian Insider, kenaikan elaun bagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pula kekal kerana difikirkan sesuai, seperti yang diputuskan dalam mesyuarat exco pada pagi Rabu.

Ia merupakan mesyuarat exco pertama yang dipengerusikan Azmin dan dihadiri 10 barisan exco baharu yang dilantik.

“Kita berpendapat kenaikan elaun perlu dikaji semula mengikut kesesuaian dan memutuskan untuk membentangkan semula dalam DUN untuk diputuskan,” katanya.

Sidang DUN Selangor pada 27 November tahun lalu meluluskan kenaikan gaji menteri besar sebanyak RM29,250, exco RM20,250, speaker RM22,500, timbalan speaker RM15,750 dan Adun RM11,250.

Kenaikan itu bermula Januari tahun ini.

Sidang DUN pada April kemudiannya meluluskan pemotongan elaun menteri besar menjadi RM14,175.15, exco RM15,000, speaker RM15,000 dan timbalan speaker RM12,000.

Bekas Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam Dewan berkata, jumlah kadar pemotongan itu akan disalurkan ke dalam Tabung Agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES).

Namun, elaun sebayak RM11,250 bagi exco masih dikekalkan.

Azmin turut mengumumkan senarai portfolio barisan Exco yang disifatkannya penjenamaan baru dari segi bidang tugas serta mengikut keperluan semasa.

Azmin akan menerajui Exco Kewangan, Pembangunan Tanah, Pengurusan Sumber Alam, Majlis Tindakan Ekonomi Selangor dan Penerangan.

Sementara itu, Elizabeth Wong (Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Dr Daroyah Alwi (Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga), Nik Nazmi Nik Ahmad (Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains dan Teknologi serta Inovasi), Amirudin Shari (Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan).

Dalam pada itu, Datuk Teng Chang Khim (Exco Pelaburan, Perindustrian IKS serta Perdagangan dan Pengangkutan) , Ean Yong Hian Wah (Exco Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baru), Ganabatirau Veraman (Exco Kemiskinan, Kerajaan Prihatin dan Pekerja Ladang), Iskandar Abdul Samad (Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Dr Ahmad Yunus Hairi (Exco Hal Ehwal Agama, Jawatankuasa Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi) dan Zaidy Abdul Talib (Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Industri Asas Tani)

Dalam perkembangan berkaitan, Azmin berkata, khidmat ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Penasihat Ekonomi Selangor akan dikekalkan walaupun Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menamatkan khidmat Anwar pada hari terakhir pentadbirannya.

Sebaliknya, Azmin berkata hanya Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor di Plaza Perangsang sahaja yang ditutup.

“Apa yang diputuskan Khalid adalah untuk menutup pejabat penasihat ekonomi,” kata Azmin.

“Tidak timbul soal pemecatan,” katanya.

Khalid pada hari terakhirnya sebagai Menteri Besar Selangor membuat keputusan dalam mesyuarat exco menutup pejabat Penasihat Ekonomi Selangor atas alasan mahu menjimatkan wang negeri.  – Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.