Cerita Duka Dan Suka Kontinjen Negara Hari Ini

Incheon – Malang buat kontinjen negara apabila rayuan yang dikemuka kepada jawatankuasa sementara Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) ditolak hari ini.

Dengan keputusan itu, kontinjen negara ke Sukan Asia ke-17 terpaksa melepaskan pingat emas pertama yang dimenangi atlet wushu Tai Cheau Xuen dalam acara gabungan nanquan dan nandao wanita sekali gus menyusutkan kutipan emas negara daripada lima kepada empat pingat emas.

Pada Selasa lepas, Majlis Olimpik Asia (OCA) memutuskan untuk menarik balik pingat emas berkenaan selepas Cheau Xuen gagal dalam ujian doping.

Menurut kenyataan penganjur, ujian sampel air kencing Cheau Xuen pada 20 Sept mendapati ia mengandungi Sibutramine iaitu bahan terlarang dalam senarai larangan Agensi Antidoping Sedunia (WADA).

Bagaimanapun, kedukaan itu diubati apabila atlet karate Lim Chee Wei menghadiahkan pingat emas dalam acara Kata lelaki individu selepas menewaskan peserta Indonesia Fidelys Lolobua 3-2 di peringkat akhir di Gyeyang Gymnasium hari ini.

Dengan kemenangan itu, Chee Wei turut mempertahan pingat emas dimenangi jurulatihnya, Ku Jin Keat, pada edisi 2010 di Guangzhou, China.

Bagaimanapun, seorang lagi atlet karate S. Raghonathan terkandas di suku akhir apabila tewas kepada Abdulaziz Ali H A dari Kuwait 2-7 dalam acara kumite bawah 67kg lelaki.

Raghonathan mendapat ‘bye’ pada pusingan pertama menewaskan lawannya dari Uzbekistan Mukhammadzaid Iminov 4-0 pada pusingan kedua.

Ratu terjun negara Pandelela Rinong juga hambar apabila gagal meraih sebarang pingat dalam acara 10m platform individu wanita malah atlet itu berada di tangga ketujuh daripada sepuluh peserta berbanding rakannya, Lee Zhia Yi, yang menduduki tempat keempat.

Skuad terjun lelaki juga gagal menyerlah apabila Ooi Tze Liang dan Ahmad Amsyar Azman sekadar menamatkan enam terjunan di tempat ketujuh dan kelapan.

Skuad hoki lelaki juga terlepas pingat gangsa apabila tewas kepada Korea Selatan 2-3 dalam perlawanan penentuan hari ini.

Berbaki sehari sebelum tirai Incheon dilabuhkan, kontinjen negara sekadar meraih empat pingat emas sekali gus jauh daripada sasaran lapan pingat emas.

Emas negara diperoleh menerusi acara skuasy berpasukan dan individu wanita, pelayaran dan karate.

Datuk Nicol David mempertahan emas dalam acara individu selain membantu pasukan wanita yang turut dibarisi Low Wee Wern, Delia Arnold dan Vanisha Raj meraih emas acara berpasukan.

Atlet pelayaran Mohamad Faizal Norizan dan Ahmad Syukri Abdul Aziz meraih emas ketiga negara menerusi acara 420 duo lelaki Dinghy manakala Chee Wei melengkapkan pingat emas keempat dalam acara Kata lelaki individu.

Setakat ini, kontinjen negara meraih empat emas, 14 perak dan 11 gangsa untuk menduduki tangga ke-15.

Pemburuan pingat diteruskan dengan atlet Malaysia turun beraksi dalam acara terjun dan karate untuk menambah kutipan pingat pada Jumaat.

China terus mengungguli kutipan pingat dengan 142 emas, 101 perak dan 79 gangsa diikuti tuan rumah Korea Selatan 72 emas, 66 perak dan dan 75 gangsa.

Tuan rumah turut meraih ibu segala pingat apabila menewaskan Korea Utara 1-0 pada perlawanan akhir bola sepak lelaki.

Gol tunggal dijaring oleh Rim Changwoo pada minit ke-120 apabila perlawanan diheret ke masa tambahan kerana terikat 0-0 selepas 90 minit permainan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.