Himpunan Melayu Bangkit Berjaya Capai Objektif

PASIR SALAK – Kehadiran hampir 10,000 orang pada Himpunan Melayu Bangkit di pekan Kampung Gajah di sini kelmarin sudah cukup untuk membuktikan semangat orang Melayu yang mahu bangkit mempertahankan hak istimewa, kedaulatan raja-raja dan agama Islam.

Apa yang menjadi perhatian ialah kehadiran golongan muda yang begitu ramai berbanding dalam ceramah biasa.

Golongan muda ini bukan sekadar untuk meramaikan majlis tetapi datang dengan lilitan pada kepala dan sepanduk yang tertulis ‘Melayu bangkit’ malah ada yang memakai tanjak seperti pahlawan Melayu.

Tidak mustahil jika kebangkitan Melayu bakal ditunjangi golongan muda yang dilihat begitu bersemangat dan semakin sedar akan apa yang berlaku terhadap orang Melayu akibat perubahan politik negara hari ini.

Mereka datang dari seluruh negara atas kesedaran untuk mencetuskan gelombang kebangkitan orang Melayu yang kini haknya diancam, raja-raja diperlekehkan manakala agama Islam semakin dipertikaikan.

Acara dimulakan dengan ta­yangan video kisah perjuangan Leftenan Adnan dan deklamasi sajak mengenai nasib orang Melayu dan kisah pejuang-pejuang Melayu menentang penjajah Bri­tish.

Laungan ‘Melayu bangkit’, ‘Hidup Melayu’ dan ‘Daulat Tuanku’ bergema di sepanjang perhimpunan.

Ucapan daripada pemimpin Melayu menaikkan lagi sema­ngat antaranya Ahli Parlimen Pasir Salak yang juga Ahli Majlis Ter­tinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dan Presiden Pemantau Malaysia Baru, Datuk Lokman Noor Adam.

Turut hadir, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad, Pengerusi Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir dan Ketua Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarikh Khan.

Ucapan yang lebih tertumpu kepada keadaan politik semasa dan kesannya terhadap hak orang Melayu, institusi raja-raja dan agama Islam disambut dengan laungan ‘Melayu bangkit’ oleh orang ramai.

Pada akhir himpunan, satu deklarasi dibacakan oleh Pe­ngerusi penganjur perhimpunan, Dr. Faizal Tajuddin dan antara inti patinya ialah mengisytiharkan orang Melayu akan mempertahankan kedudukan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan, memberi amaran supaya berhenti mempersoalkan kedudukan orang Melayu dan mempertahankan dan memelihara kedaulatan raja-raja.

Sementara itu, dalam sidang akhbarnya selepas itu, Annuar menyatakan rasa berpuas hati terhadap program Himpunan Melayu Bangkit dan meminta Tajuddin untuk menggerakkan perhimpunan serupa di seluruh negara.

Katanya, adalah penting untuk rakyat bersuara dan menyuarakan kegusaran terhadap perkembangan politik semasa terutama yang menyentuh isu kedudukan Islam sebagai agama rasmi, hak istimewa orang Mela­yu dan bumiputera, kedudukan raja-raja Melayu dan bahasa kebangsaan.

“Perhimpunan itu bagaimanapun harus mematuhi peraturan dan undang-undang ditetapkan serta tidak boleh dijadikan tempat untuk menimbulkan kebencian terhadap kaum lain.

Jika ini dapat dipenuhi, kita boleh adakan di mana-mana sekalipun,” katanya. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.