Trafik Menuju Ke Ibu Negara Semakin Sesak

KUALA LUMPUR ― Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama menghala ke ibu negara dilaporkan sesak petang ini berikutan pertambahan kenderaan setelah orang ramai mula kembali ke ibu negara selepas bercuti panjang.

Jurucakap Pusat Kawalan Trafik Projek Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) berkata setakat 6.15 petang ini, aliran trafik dari utara di Lebuhraya Utara-Selatan sesak bermula dari Gurun ke Sungai Petani, Sungai Dua ke Seberang Jaya, Bukit Tambun menghala ke Jawi serta dari Ipoh menghala ke Sungkai.

Bagi arah selatan, trafik perlahan dari Tangkak ke Ayer Keroh dan Ayer Keroh menghala Seremban.

“Jumlah kenderaan dijangka akan terus meningkat menjelang malam,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Sementara itu, jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata aliran trafik di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) dari Gombak ke Genting Sempah berdekatan Plaza Tol Gombak turut dilaporkan perlahan.

Keadaan trafik perlahan namun terkawal juga dilaporkan dari Lentang ke Plaza Tol Gombak serta Lancang menghala Bukit Tinggi.

Orang ramai boleh mengetahui maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1800-88-0000 dan laman Twitter di www.twitter.com/plustrafikatau talian LLM di 1800-88-7752 serta laman Twitter di www.twitter.com/llminfotrafik. ― Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.