‘Tanam Pokok Buah-Buahan Untuk Landskap Di Melaka’

Kerajaan negeri Melaka akan mengkaji jenis pokok buah-buahan yang sesuai ditanam untuk landskap jalan bagi memudahkan pengguna jalan raya mengenal pasti arah ketika datang ke Melaka.

Ketua Menteri, Datuk Idris Haron berkata beliau telah mengarahkan semua agensi berkaitan seperti Jabatan Landskap Negeri Melaka, pihak berkuasa tempatan dan syarikat pertanian untuk menyiapkan kajian tersebut selewat-lewatnya pada hujung tahun ini.

“Kita juga akan menubuhkan satu komiti (jawatankuasa) bagi memastikan satu polisi baharu mengenai landskap Melaka dapat disiapkan sebelum sambutan tahun baharu 2018,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup Pesta Durian dan buah-buahan tempatan Melaka 2017 di Melaka Tropical Fruit Farm, Sungai Udang di Melaka hari ini.

“Landskap di Melaka nanti bukan hanya (menampilkan) bunga-bungaan tetapi juga pokok buah-buahan seperti yang terdapat di negara maju lain.

“Sebagai contoh pokok limau di tanam untuk landskap jalan di Taiwan dan beberapa negara lain,” kata beliau.

“Misalnya, Lebuhraya yang menghubungkan Air Keroh-Paya Rumput-Sungai Udang akan ditanam dengan pokok manggis bagi memudahkan orang ramai mencari arah ke Sungai Udang,” katanya.

Idris berkata beliau juga mengarahkan agensi yang berkaitan dengan pertanian menggandakan kegiatan mereka.

“Kalau dahulu kita memotong pokok untuk membina bangunan tetapi kini kita akan cuba untuk menghalang pemaju untuk memotong pokok dan mengekalkanya serta menambah lagi pokok.

“Kita dapati Singapura merupakan bandar terhijau di dunia apabila 21 peratus bandarnya diliputi oleh pokok-pokok yang hijau,” katanya.

Sementara itu, mengulas lanjut mengenai Pesta Durian dan buah-buahan tempatan Melaka 2017, Ketua Pegawai Eksekutif Pembangunan Pertanian Melaka Sdn Bhd (PPMSB), Datuk Isnin Aman berkata ini adalah merupakan kali ketiga pesta tersebut dianjurkan.

“Kita jangka akan menerima kedatangan lebih daripada 30,000 orang pengunjung terdiri daripada orang tempatan dan pelancong dari luar negara,” katanya.

Beliau berkata harga durian yang dijual di pesta dua hari bermula hari ini itu lebih murah jika dibandingkan dengan durian yang dijual di pasaran luar.

Katanya, pesta tersebut turut menjual barang makanan berasakan durian seperti dodol durian, aiskrim durian dan lain-lain.-Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.