Sufian, Elfira Bertunang 6 Oktober

KUALA LUMPUR: Mendapat restu keluarga, pasangan selebriti, Sufian Suhaimi dan Elfira Loy akan bertunang pada 6 Oktober depan.

Memberitahu BH Online, Sufian berkata, majlis pertunangan akan diadakan di kediaman keluarga Elfira di Cheras.

“Pada majlis merisik pada 30 Jun lalu, keluarga kami berbincang untuk mengadakan majlis pertunangan, akhir tahun ini.

“Namun, selepas dipertimbangkan, tarikh itu dipercepatkan. Saya fikir lebih afdal untuk kita menyegerakan perkara yang baik,” katanya.

Difahamkan, majlis pertunangan akan berlangsung petang, disusuli acara keraian pada sebelah malam yang terbuka untuk media.

Sufian yang bakal menamatkan pengajian peringkat sarjana dalam bidang komunikasi massa di Universiti Teknologi MARA (UiTM), akhir tahun ini berkata, majlis perkahwinan dijangka berlangsung tahun depan.

“Majlis pertunangan dirancang awal Oktober supaya tidak kelam-kabut dan kami dapat membuat persiapan untuk hari istimewa. Insya-Allah, majlis perkahwinan kami dirancang awal tahun depan,” katanya.

Baru-baru ini, penyanyi lagu Terakhir itu melancarkan single ketiga, Terasa Ada yang dicipta bersama Sirkhan.

“Lagu itu ada kaitan dengan kehadiran Elfira dalam hidup saya. Alhamdulillah, rezeki saya semakin murah dan dipermudahkan,” katanya.-Bharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.