Sanggup Buka Restoran Hidang Makanan Percuma Bantu Golongan Alami Kekangan Wang

Kuching – Mulianya hati seorang lelaki apabila sanggup membuka restoran yang menghidangkan makanan percuma setiap hari di Jalan Lapangan Terbang di sini, bagi membantu golongan mengalami kekangan kewangan.

Restoran Blincon Loving Cafe itu menghidangkan makanan berkonsepkan vegetarian dan restoran tunggal di bandar raya ini yang menyediakan sepenuhnya makanan dan minuman percuma.

Pemiliknya Cyril Wong, 40-an berkata, sebagai balasan daripada orang ramai yang makan di situ, mereka hanya diminta mencuci sendiri pinggan dan cawan yang digunakan.

“Ramai orang yang menghadapi masalah kewangan dalam kehidupan mereka sehingga sukar untuk menampung perbelanjaan makan sendiri.

“Mereka dialu-alukan ke kafe ini dan saya boleh memberi mereka makan (percuma). Mereka tidak bersendirian di dunia ini dan ada orang yang masih peduli pada mereka,” katanya.

Cyril berkata, dia mula membuka kafe amal itu pada Mac tahun lalu dengan memperkenalkan makanan vegetarian bagi menggalakkan amalan pemakanan sihat.

Menurutnya, sejak beroperasi, kafe itu hanya dikendalikan seorang tukang masak dan seorang pembantu yang menghidangkan 10 hingga 12 hidangan setiap hari.

“Bagaimanapun, saya terkilan dengan sikap segelintir pengunjung yang tidak mencuci pinggan dan cawan mereka dengan bersih.

“Ia mengecewakan, kadang-kadang pembantu saya mencuci semula pinggan dan cawan itu sehingga bersih ,” katanya.

Ketika ini, Cyril membiayai sebahagian besar kos operasi kafe itu menggunakan wang poketnya sendiri yang dianggarkan RM15,000 sebulan.

Bagi meringankan tanggungannya, Cyril menyediakan tabung kebajikan di kafe itu bagi membolehkan orang ramai menderma membeli bahan memasak terutama sayur-sayuran. – Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.