PSM Umum Tanding Enam Kerusi Milik DAP

IPOH – Parti Sosialis Malaysia (PSM) mengumumkan bertanding tujuh kerusi di Perak pada pilihan raya umum ke-14 (PRU-14), termasuk enam yang disandang wakil DAP.

Ia membabitkan dua kerusi Parlimen, iaitu Batu Gajah dan Sungai Siput serta lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), iaitu Tronoh, Menglembu, Jelapang, Buntong dan Malim Nawar.

Kecuali Parlimen Sungai Siput, semua kerusi terbabit dimenangi calon DAP pada PRU-13.

Ahli Jawatankuasa PSM Pusat, S Arutchelvan, berkata parti itu bersedia berdepan pertandingan tiga penjuru atau lebih sekiranya DAP tidak mahu berunding.

“PSM hanya mahu bertanding di tiga peratus daripada keseluruhan kerusi pilihan raya di Malaysia. Kami berharap pakatan pembangkang tidak ganggu kerusi berkenaan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau turut mengumumkan nama tujuh calon parti itu, iaitu K Kunasegaran di Parlimen Batu Gajah dan Dr Michael D Jeyakumar (Parlimen Sungai Siput).

Bagi kerusi DUN, M Saraswathy (Jelapang), Chin Kwai Leong (Menglembu), Chin Kwai Heng (Tronoh), R Mohanarani (Buntong) dan K Bawani (Malim Nawar).

Pada PRU-13, Dr Jeyakumar bertanding dan menang kerusi Parlimen Sungai Siput atas tiket PKR, manakala Saraswathy yang bertanding atas tiket Bebas kalah pertembungan tiga penjuru di DUN Jelapang.

Arutchelvan berkata, PSM bagaimanapun sedia berunding dan memberi laluan kepada DAP sekiranya parti itu dapat mengemukakan calon lebih baik, berkualiti serta mampu memperjuangkan kepentingan rakyat berbanding calon PSM.

Begitupun, beliau berharap DAP akan memberi ruang kepada PSM bertanding di enam kerusi terbabit atas alasan partinya mempunyai calon berkualiti dan berkaliber.

“Pengumuman awal calon dibuat bagi memudahkan gerak kerja pilihan raya dan calon mengenali pengundi,” katanya. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.