Pengantin Baru Naik Kapcai Kembara Ke London

Berdepan ribut salji dengan jalan licin kerana berais ketika melalui laluan Changla di Ladakh, India adalah antara cabaran yang ditempuhi pasangan suami isteri Mohd Alfishahrin Zakaria, 31, dan Diana Latief, 30, yang melakukan misi 146 hari menunggang motosikal ‘kapcai’ berkuasa 150cc dari Klang ke London, United Kingdom sempena sambutan Hari Kebangsaan 2017, 31 Ogos lalu, lapor Metro.

Laluan Changla antara jalan paling berbahaya dan kedua tertinggi di dunia yang bersempadan dengan utara Jammu, India mempunyai ketinggian 5,391 meter.

Alfishahrin berkata, ketika melalui jalan terbabit, dia terpaksa berhenti setiap tiga minit kerana perlu mengelap salji tebal pada cermin depan topi keledar kerana mengganggu penglihatan sebelum meneruskan perjalanan.

“Itu adalah pengalaman menunggang yang tidak dapat dilupakan, dalam keadaan salji tebal dengan cermin topi keledar dipenuhi salji sangat mendebarkan dan ia adalah jalan paling susah untuk dilalui sepanjang perjalanan 25,000 kilometer (km) kembara ini.

“Dalam hati hanya Tuhan yang tahu bertapa risaunya saya dengan keselamatan kami berdua apabila tidak nampak jalan tetapi terpaksa melalui laluan off road (jalan tidak berturap), merentas sungai kecil, jalan licin berais dan dilitupi salji.

“Sebelah kanan kami ialah kawasan pergunungan atau lautan salji, manakala sebelah kiri gaung yang tidak pasti berapa kedalamannya.

“Bagaimanapun, Alhamdulillah, isteri tersayang sentiasa memberi semangat untuk meneruskan perjalanan kerana kami tidak mungkin berpatah balik, sebaliknya perlu meredah apa saja cabaran,” katanya kepada Metro Ahad.

Pasangan pengantin baru ini diijabkabulkan dalam satu majlis di Pejabat Agama Islam di Selangor pada 30 Mac lalu dan seminggu kemudian iaitu 8 April memulakan kembara dari Klang, merentasi 23 negara selama 146 hari untuk tiba di London, United Kingdom.

Kembara pasangan ini yang bertugas sebagai pegawai bank melalui Thailand, Nepal, India, Pakistan, Iran, Armenia, Georgia, Turki, Greece, Albania, Itali, Montenegro, Bosnia, Croatia, Austria, Switzerland, Jerman, Belgium, Belanda dan Perancis sebelum destinasi berakhir di London kelmarin yang juga sempena Hari Kebangsaan 2017.

Menceritakan kembali mengenai kembara yang dilalui, Alfishahrin berkata, kebanyakan perjalanan yang dilakukan adalah pada waktu siang selama 10 hingga 11 jam bergantung kepada keadaan cuaca dan laluan yang akan dilalui.

“Ketika berada di Jammu, Kashmir, kami terpaksa memulakan perjalanan pada tengah malam.

“Ketika itu, kami perlu melalui kawasan bergolak dan bahaya kerana berlaku rusuhan di sana dengan laluan hanya dibuka pada waktu malam.

“Ketika itu, kami sudah terkandas di Jammu selama empat hari apabila memasuki hari kelima, kami sudah tidak boleh tunggu dan nekad mengambil risiko meneruskan perjalanan kerana tidak mahu buang masa,” katanya.

Pasangan ini memuatkan diari perjalanan mereka dalam akaun laman sosial (FB) masing-masing dengan disertakan gambar menarik di setiap lokasi disinggahi.

Setiap status dan gambar yang dimuat naik mendapat reaksi positif daripada pengikut akaun, teruja dengan perjalanan pasangan suami isteri ini, malah permintaan untuk menjadi rakan FB pasangan ini sudah tidak boleh dibuat kerana kuota permintaan sudah penuh.

“Mungkin ini antara pengalaman romantis kami yang bergelar pengantin baru, tetapi ia hanya kebetulan kerana objektif asalnya ialah untuk mengaspirasikan anak muda bebas dadah serta sempena sambutan Hari Kebangsaan 2017,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.