Pemilik Butik Ditahan Kembali, Selepas Direman

Pemilik butik perancang perkahwinan yang sebelum ini direman selama dua hari bermula Khamis lalu di Klang, ditahan semula petang semalam bagi membantu siasatan terhadap empat lagi laporan baharu yang dibuat ke atasnya di Shah Alam, Selangor.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Shafien Mamat berkata, wanita berusia 35 tahun itu ditahan pada kira-kira 2 petang semalam sebaik sahaja dibebaskan daripada tahanan reman oleh Jabatan Siasatan Jenayah IPD Shah Alam selepas pihaknya menerima empat laporan polis berhubung dakwaan menipu yang dikaitkan dengan suspek, melibatkan kerugian kira-kira RM20,000.

“Suspek bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis pada pukul 8 malam hari yang sama selepas selesai siasatan, pasport antarabangsanya turut ditahan sebagai langkah mengelakkan dia melarikan diri ke luar negara,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis korban sempena Hari Raya Aidiladha hari ini.

Kata Shafien, siasatan awal pihaknya mendapati kebanyakan laporan polis ke atas pemilik butik perkahwinan itu dibuat oleh bakal pengantin yang telah membayar deposit kerana khuatir dengan perkhidmatan yang diberi.

Ini berikutan tularnya video yang menunjukkan pejabat butik berkenaan diserbu oleh pengantin yang tidak berpuas hati dengan khidmat yang diberi.

“Saya jangka lebih ramai pelanggan suspek akan membuat laporan polis untuk menuntut kembali deposit mereka,” katanya.
Shafien berkata, pihaknya telah membuka satu kertas siasatan berhubung kes berkenaan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Pada 31 Ogos lalu, Mahkamah Majistret Klang mengeluarkan perintah reman selama dua hari sehingga semalam ke atas suspek bagi membantu siasatan kes penipuan pakej perkahwinan yang membabitkan kira-kira 100 pasangan dan bakal pengantin dengan kerugian dianggarkan bernilai kira-kira RM497,000.-Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.