Pasukan Keselamatan Siasat Kemungkinan Saki Baki Abu Sayyaf Di Malaysia

PASUKAN keselamatan sedang menyiasat jika ada saki baki kumpulan Abu Sayyaf dari selatan Filipina yang cuba memasuki atau sudah berada di negeri ini.

Ia susulan penahanan lapan suspek termasuk seorang dipercayai pemimpin Abu Sayyaf, Hajar Abdul Mubin atau dikenali sebagai Abu Asrie bersama seorang warga Filipina, Abraham Embung, 29, dan enam lagi lelaki di Cheras, Kuala Lumpur, Selasa lalu.

Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Datuk Hazani Ghazali berkata, penahanan lapan suspek itu disahkan Bukit Aman dengan tangkapan dilakukan menerusi operasi cawangan khas Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Katanya, mereka adalah kumpulan yang berjaya melarikan diri pada 2015 sebelum konflik di Marawi, Filipina tercetus.

“Kita sedang siasat tetapi di Sabah, setakat ini tiada (ancaman kemasukan unsur militan).

“Kita ada hubungan yang baik dengan pihak keselamatan Filipina yang sentiasa bertukar maklumat dengan kita,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Ramli Din ketika dihubungi berkata, pihaknya belum dimaklumkan mengenai kejadian itu.

Terdahulu, sebuah akhbar melaporkan enam yang ditahan berusia antara 20 hingga 52 tahun dipercayai berasal dari Sandakan dan bekerja di Kuala Lumpur.

Sebahagian daripada mereka dikatakan bekerja sebagai pengawal keselamatan serta anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

Abu Asrie dari Basilan, selatan Filipina melarikan diri ke Malaysia pada 2015 dan dipercayai ahli kumpulan menculik untuk mendapatkan wang tebusan (KFR), Lucky 9 yang mempunyai kaitan dengan Abu Sayyaf. – Hmetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.