Masjid Tidak Patut Diserang, Kata Duterte

Manila – Presiden Filipina Rodrigo Duterte menegaskan masjid tidak patut diserang dalam usaha memerangi pemberontakan di Mindanao yang turut dikaitkan dengan Daish.

Menurut Agensi, semalam hari ke-103 dalam pertempuran terhadap pengganas di Marawi. Rabu lalu, Duterte menyatakan usaha mengusir militan Maute di situ disukarkan kerana dia sebelum ini melarang masjid di bandar berkenaan dibom seterusnya membayangkan rumah ibadah berkenaan boleh diserang untuk mengelak pertempuran berlanjutan sehingga setahun, lapor Metro.

Bagaimanapun, kelmarin dia menegaskan perbuatan itu tidak boleh diterima.

“Kita tidak boleh memusnahkan masjid. Makin ramai akan membenci kita nanti dan tidak membawa sebarang faedah,” katanya dalam satu ucapan.

Anggota kanan tentera sebelum itu juga menyatakan pendirian sama, tidak mahu menyerang masjid yang menjadi tempat pengganas bersembunyi dengan tebusan dalam kalangan penduduk tempatan.

Jurucakap tentera di Mindanao, Kapten Jo-Anne Petinglay berkata: “Seboleh-bolehnya kami mahu menyelamatkan nyawa tebusan. Lagipun menyerang masjid hanya akan mengapikan kebencian dan menyebabkan kita ada lebih ramai musuh.”

Pertempuran di Marawi setakat ini membunuh sekurang-kurangnya 45 orang awam dan 133 tentera, manakala 617 anggota Maute dilaporkan terbunuh.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.