Kutip Tak Sampai RM100,000

Filem Pencuri Hati Mr Cinderella (PHMC) arahan dan lakonan Ahmad Idham Nadzri baru saja melabuhkan tirai di pawagam tempatan, minggu lalu.

Malangnya filem itu bukan saja tidak mendapat sambutan daripada penonton, malah posternya dikecam netizen walaupun filem itu mendapat reaksi positif daripada pengkritik dan media tempatan.

Ahmad Idham ketika dihubungi, mengakui terkejut dengan sambutan diterima PHMC di pawagam kerana mendapat maklum balas yang amat baik daripada media dan mereka yang menontonnya.

Katanya, filem yang turut menampilkan Atikah Suhaime, Datuk Eizlan Yusof, Cat Farish dan Hairul Azreen itu mendapat respons baik hingga ada yang berpendapat filem itu berjaya mencetus dimensi baru untuk genre romantis di Malaysia.

“Maklum balas yang saya terima mengatakan filem ini berjaya lari daripada kisah cinta klise sebelum ini. Bagaimanapun, sambutannya agak mengecewakan apabila hanya mencatat kutipan kurang RM100,000,” katanya.

Optimis dengan isu yang berlaku pada filem terbitan syarikatnya, Aifa Motion Sdn Bhd, Ahmad Idham sedia maklum keadaan itu mungkin berpunca daripada keadaan ekonomi tidak menentu yang turut memberi kesan kepada filem tempatan lain.

Mengenai isu poster yang dikecam, Ahmad Idham bersyukur sebab masih ramai yang ambil tahu perihal setiap produk keluarannya.

“Sebelum PHMC, filem Minah Motor yang ditayangkan beberapa bulan lalu turut mendapat kecaman netizen. Mungkin saya terlepas pandang dengan sensitiviti beberapa pihak yang peka dengan perihal poster.

“Disebabkan ramai yang memberi idea dan komen, saya merancang untuk membuka peluang kepada mereka untuk reka cipta poster filem saya akan datang.

“Tawaran ini secara tidak langsung memberikan peluang perniagaan kepada netizen yang mempunyai kelebihan mencipta poster yang baik,” katanya.

Ahmad Idham berharap sambutan PHMC akan lebih memberangsangkan sebaik saja mula ditayang­kan menerusi saluran Astro First, tidak lama lagi.

Katanya, dia yakin platform saluran berbayar itu mampu memberi semula nafas kepada PHMC. Hasil kajian dilakukan sebelum ini, penonton tempatan lebih suka menonton filem romantis dan kekeluargaan bersama ibu bapa dan keluarga di rumah.

Hal itu terbukti melalui beberapa filem arahannya sebelum ini seperti Minah Moto dan Mat Moto Otai yang mendapat reaksi positif ketika ditayangkan menerusi saluran itu sebelum ini.

Pada masa ini, Ahmad Idham giat menyiapkan suntingan untuk filem genre kebombaan, Qhaliq yang menampilkan Hairul Azreen dan Risteena Munim sebagai teraju utama.

Dia juga dalam proses praproduksi untuk menyiapkan filem seram komedi yang dijangka memulakan penggambaran pertengahan bulan depan.-Hmetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.