‘Jangan Kerana Nila Setitik, Rosak Susu Sebelanga’

Tan Sri Khalid Abu Bakar akan bersara secara rasminya daripada jawatan Ketua Polis Negara pada esok hari, 4 September 2017.

Suatu acara persaraan dan penyerahan tugas akan diadakan di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur.

Mengulas persaraannya, Khalid bersyukur kerana dapat berkhidmat dalam pasukan polis, begitu yang ditulis ruangan mingguan beliau di Harian Metro hari ini.

“Saya diberi peluang untuk berjihad ke jalan Allah SWT melalui tanggungjawab hisbah ke atas saya sebagai khalifah di muka bumi ini, untuk menegakkan yang makruf dan mencegah yang mungkar.

“Semakin saya mendekati garisan penamat, saya sedar itulah keputusan terbaik yang pernah saya buat seumur hidup saya,” catat beliau.

Khalid, anak jati Seremban memulakan kerjaya dalam pasukan polis ketika berusia 19 tahun pada 1976. Beliau pernah menyandang pelbagai jawatan sebelum dilantik sebagai ketua polis Negeri Sembilan pada 2005.

“Saya sudah mendedikasikan 75 peratus atau dua pertiga dari umur saya untuk pasukan dengan berpegang kepada satu istiqamah iaitu kesetiaan.

“Saya mampu berdiri tegak dan merasa bangga untuk menyatakan bahawa apabila meninggalkan pasukan kelak, saya tidak ada apa-apa lagi yang tertunggak atau unfinished business,” tulis Khalid.

Khalid turut menasihatkan anggota polis untuk menggalas amanah yang diberi dengan baik kerana ‘masyarakat juga lebih mudah menghukum daripada memuji’.

“Maka, segala kejayaan yang kita tempa di perbatasan tidak akan kekal disanjung, jika kita gagal menjaga imej pasukan di mata masyarakat.

“Kita harus akui disebabkan nila setitik, maka rosaklah susu sebelanga. Disebabkan seekor kerbau yang membawa lumpur, maka habis semuanya terpalit dan tercemar,” tulis beliau lagi.

Khalid akan mengubah haluan daripada bidang keselamatan apabila dilaporkan sebuah portal berita akan menceburi bidang masakan.

“Saya sudah bersedia (memulakan kehidupan sebagai orang awam). Saya akan mengikuti kelas memasak dengan Institut Bakeri Malaysia (MIB) di Petaling Jaya,” katanya kepada portal FMT hari ini.

Khalid pernah menjadi timbalan pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, sebelum menjadi ketua polis Selangor pada Jun 2007.

Pada 2010 beliau mengetuai Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, sebelum dinaikkan pangkat sebagai timbalan ketua polis negara pada 2011, menggantikan Tan Sri Husin Ismail yang bersara wajib.

Pada 17 Mei 2013, beliau mula menerajui pasukan polis negara menggantikan Tan Sri Ismail Omar yang tamat tempoh pelantikan secara kontrak.-Malaysiakini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.