Cari Laluan Baru Konvoi Daesh

Beirut – Hizbullah di Lubnan dan tentera Syria kini mencari laluan baru untuk konvoi pejuang Daish dan keluarga mereka yang dalam perjalanan ke kubu kumpulan militan itu di timur Syria, kata komander tentera rejim, semalam.

Menurut Agensi, konvoi 17 bas membawa kira-kira 300 pejuang bersenjata ringan dan 300 orang awam terperangkap di padang pasir di timur Syria sejak Selasa lalu dengan pakatan tentera diketuai Amerika Syarikat (AS) melancarkan serangan udara bagi menghalang perjalanannya ke wilayah Daish, lapor Metro.

Komander berkenaan berkata: “Kami berusaha mengubah laluan konvoi berkenaan.”

Ini kali kedua perubahan laluan, selepas dilakukan pada Khamis lalu susulan serangan bom pakatan tentera AS bertujuan menghalang pergerakannya ke timur Syria.

Pejuang terbabit dibenarkan menaiki bas berkenaan selepas melepaskan kawasan dipegang mereka di sempadan Syria-Lubnan pada Isnin lalu, dalam perjanjian gencatan yang membolehkan mereka pergi ke kawasan Deir Ezzor di timur negara itu.

Perjanjian itu mencetuskan kemarahan pakatan tentera AS – yang tidak mahu kehadiran pejuang militan di kawasan operasinya – serta Iraq yang menganggap golongan itu ancaman disebabkan tempat dituju konvoi berkenaan berhampiran sempadannya.

Pakatan AS turut berazam terus memantau konvoi berkenaan selain mengganggu usaha sampai ke kawasan Daish, tetapi tidak akan mengebom secara langsung kerana kehadiran orang awam dalam kumpulan berkenaan.

Ia menegaskan tidak akan membenarkan konvoi terbabit ke sempadan berhampiran Iraq.

Kerajaan Syria pimpinan Presiden Bashar al-Assad yang dibantu Russia serta militia disokong Iran termasuk Hizbullah turut memerangi Daish.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.