Ayda Cipta Kenangan Manis Bersama Bapa

BERPISAH dalam tempoh tertentu dan kemudiannya bersatu semula. Pertemuan kali kedua sebegitu mungkin menjadi lebih bermakna buat seorang anak yang terpaksa menerima hakikat bahawa jodoh kedua ibu bapanya sudah pun berakhir.

Penyatuan sebegitu juga barangkali lebih indah buat si anak yang bertahun-tahun memendam perasaan belajar untuk menerima hakikat yang kedua-dua orang kesayangannya itu sudah tidak lagi tinggal serumah.

 

Bertahun-tahun juga lamanya Ayda Jebat untuk menanggung keperitan itu apabila bapa, Imran Mohd. Noor, 47, berpisah dengan ibu, Rohana Mohamed, 46. Peristiwa menyedihkan dalam hidup itu terjadi ketika Ayda berusia 12 tahun.

Apalah yang difahami sangat tentang soal perceraian buat Ayda dan tiga lagi adiknya pada waktu itu. Cuma ada satu perkara yang mengganggu di kepalanya pada waktu itu.

Ayda risau perpisahan kedua orang tuanya menyebabkan dia dilihat janggal dengan rakan sebaya lain. Agak sedikit janggal juga apabila hidup tanpa seorang bapa di kala di masih mendambakan kasih sayang daripadanya.

Hinggakan hampir-hampir juga terjejas pelajaran Ayda di sekolah dek terlalu memikirkan nasib diri yang melanda apabila tidak sama dengan rakan-rakan yang lain.

“Hanya orang yang pernah berdepan dengan perceraian ibu bapa sewaktu kecil itu saja yang tahu perasaan yang kami alami waktu itu. Boring, tak seronok dan boleh hampir murung dek terganggu dengan perpisahan mereka.

“Saya mengambil masa yang agak lama untuk menenteramkan permasalahan ini, jadi anak mangsa perceraian ibu bapa. Lama kelamaan saya menjadi seorang kanak-kanak pendiam dan gemar menyendiri. Waktu itu dalam kepala kita ini ada banyak soalan yang tidak ada jawapan.

“Saya tertanya-tanya kenapa perpisahan itu berlaku pada keluarga saya, bukan pada keluarga orang lain. Kenapa saya tak berhak ada seorang bapa dan macam-macam lagi persoalan yang berlegar di kepala. Semuanya tak ada jawapan.

“Nak buat macam mana, masa itu kita masih budak lagi. Tak berhak pun nak masuk campur dalam urusan orang tua,” kata anak sulung daripada empat beradik ini menyentuh bicara tentang kisah silam.

Bagaimanapun segala teka teki tentang pemahaman itu akhirnya terjawab sewaktu Ayda semakin meningkat usia. Pemikiran Ayda juga sudah semakin matang dan dia boleh memahami permasalahan yang menyebabkan kedua orang tuanya membawa haluan masing-masing.

Seiring dengan itu juga, Ayda berpeluang untuk memperbaiki masalah komunikasi antara dia dan bapa. Tambahan pula selepas Ayda menyertai rancangan realiti Akademi Fantasia Kesembilan (AF9) pada 2011.

Pada waktu itulah Ayda mencuba untuk memperbaiki hubungan yang renggang selama ini sementelah dia dan adik beradik yang lain menetap bersama ibu mereka di Bukit Beruang, Melaka.

“Masa saya dan adik (Nur Shafinaz) berpindah tinggal di rumah papa (panggilan untuk bapa) di Kuala Lumpur, waktu itulah saya mengubati semua kelukaan yang terpendam dengannya selama ini.

“Langsung dah tak ingat pada kisah sedih. Sebaliknya kami mencipta semula memori yang baharu. Papa memang lelaki yang sangat memahami. Kebaikan yang ada padanya itu menghapuskan semua prasangka buruk saya terhadapnya.

“Paling penting kami dapat memperbaiki semula kesilapan dan salah faham yang berlaku selama ini. Hidup saya yang kelam selama ini bertukar terang apabila dapat berkenalan dengan lebih rapat dengan papa.

“Itulah masa yang paling bermakna buat saya. Beban yang terbuku di kepala ini terus hilang. Terus jadi seorang anak yang berdikari,” cerita penyanyi lagu Pencuri Hati dan terkini, Mata ini mengimbas kenangan lalu.

Pengorbanan itu tanggungjawab

TIDAK meletakkan sebarang balasan pada setiap jasa yang telah ditabur buat keluarga malah Ayda menganggap setiap kebaikannya itu sebagai tanggungjawab yang dipikul buat seorang anak.

Biarpun ibunya sudah berkahwin dan menjalani kehidupan bersama Datuk Muhdden Ahmad sejak tahun lepas, hubungan kasih ibu dan anak itu sama sekali tidak akan putus.

Sebagai anak yang sudah mempunyai pendapatan tersendiri, Ayda berbangga apabila dapat menanggung penuh perbelanjaan dan keperluan persekolahan seorang daripada adiknya, Mohammad Danial Haritz, 14.

“Saya rela tidak makan dan mengikat perut semata-mata untuk memenuhi keinginan Danial. Dia adalah keutamaan saya kini. Kalau dia nak belajar ke mana saja pun, saya pasti akan hantar dia dan tidak akan mengecewakannya.

“Kalau nak tahu saya bekerja untuk dia. Seluruh penat lelah letih saya ini hanya untuk memberi kebahagiaan kepada dia semata-mata. Danial bukan jenis yang meminta-minta dan setia berada di sisi saya walau apa ketika.

“Sebab itu, saya tidak kisah tentang pengorbanan ini malah meletakkan perkara itu sebagai satu tanggungjawab daripada seorang kakak kepada adik,” kata Ayda yang meraikan Hari Raya Aidiladha di ibu kota bersama ibu dan adik beradik yang lain.

Ayda mirip saya – Imran

ENGGAN mengimbas cerita membabitkan perkahwinannya dengan bekas isteri, Imran memberitahu perkara yang sudah pun menjadi sejarah hidup mereka itu tidak wajar diungkit pada ketika ini.

Memandangkan masing-masing sudah pun mempunyai keluarga, apa yang menjadi matlamat ahli perniagaan ini adalah kebahagiaan kesemua anak-anaknya.

Begitu juga dengan kehidupan Ayda, walaupun tidak tinggal bersama seperti sebelum ini namun Imran sentiasa memantau perkembangan kerjaya dan bertindak sebagai penasihat di kala anaknya itu berada dalam kesulitan.

“Sikap Ayda yang tidak berputus asa dalam usaha mengejar apa yang diinginkan itu benar-benar mirip saya. Kesungguhannya mengejar cita-cita yang diinginkan itu benar-benar mewarisi sikap saya.

“Saya berbangga kerana hasil kerja keras Ayda sebelum ini sudah pun membuahkan hasil. Saya sendiri menyaksikan sendiri kesungguhan dia mencipta nama dalam industri seni ini dari awal hingga ke hari ini.

“Dek terlalu bekerja keras juga, Ayda tidak mengendahkan waktu rehat hinggakan terlibat dalam sebuah kemalangan di sebuah lebuh raya pada 2012. Kejadian itu benar-benar menyentuh hati saya.

“Sejak itu saya lebih mengambil berat tentang dia. Walaupun ada pengurus yang menjaga tapi saya tetap bertanya khabar padanya,” ujar Imran yang juga menyifatkan Ayda seorang yang tegas dan berperangai ‘gila-gila’.

Tidak akan membuat penilaian negatif apabila nama anaknya kerap dikaitkan dengan cinta di lokasi sejak drama Rindu Awak 200% ditayangkan, Imran percaya Ayda sangat profesional dalam urusan kerjanya.

Oleh yang demikian, Imran yakin yang anaknya itu tidak melayan bab cinta sewaktu urusan kerjanya belum lagi selesai ataupun menepati apa yang diinginkan.

“Saya kenal Ayda dan amat memahami visi yang diimpikan. Sebab itu saya yakin hingga ke hari ini, dia tidak pernah bercinta dengan sesiapa walaupun dengan pelakon yang dikaitkan bersama itu.

“Dia memang seorang yang fokus terhadap kerja. Bab bercinta ini dia tolak tepi sebab itu bukan matlamat utama. Ayda ada matlamat yang lebih penting lagi berbanding bercinta ini.

“Satu lagi, saya juga mengenali secara mendalam setiap lelaki yang dikatakan bercinta dengan Ayda itu. Baik Zul Ariffin, Radin dan terkini Redza Rosli, sekalipun semuanya sudah saya berjumpa.-UTUSANONLINE

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.