“Aku, 59 Tahun Dan Merdeka”

TIGA hari lalu, kita sambut ulang tahun dirgahayu Malaysia yang ke-60. Dan sekali gus membawa maksud, pada tahun ini, lelaki ‘cerah, tinggi dan kacak ranggi’ ini juga sudah pun mencecah 59 tahun usianya. Dia lahir tanggal 28 Julai 1958. Saat kelahirannya di Kampung Bakar Batu, Johor Bharu, turut menyaksikan detik-detik penting di mana tanah ‘si jantung Semenanjung’ ini belum pun setahun, merayakan detik pembebasan pertama, tanggal 31 Ogos 1957.

Sedia maklum, sepertimana yang sering kita baca akan kisah-kisah perjuangan pejuang masa lalu, bahawa kemerdekaan ini tidak diperoleh dengan mudah. Meski tanpa tumpahan darah, tetap ada air mata dan keringat jerih yang mengalir di jiwa para pejuang kemerdekaan lampau yang kemudian membawa kepada pembebasan negara daripada penjajahan.

Kepada Amy, sehingga kita boleh menikmati hidup yang tenang, damai dan tenteram, itu hutang yang wajar dibayar dengan janji dan taat setia, menjadi rakyat Malaysia yang tidak pernah angkuh dan sombong akan nikmat-nikmat yang telah diterjemahkan.

“Banyak cara untuk memperingati dan menyambut hari dirgahayu Malaysia ini. Saya biasanya akan terus mengibarkan bendera di rumah, bersama anak-anak sesampai sahaja bulan Ogos, membawa ke September. Melihat jalur gemilang berkibar merdeka di halaman rumah, rasa dalam hati itu sepenuh perasaan. Bangga, syahdu dan segala-galanya.

“Cara saya sambut hari merdeka, termasuk juga terlibat dengan acara sambutan kemerdekaan seperti pada hari penutup Sukan Sea pada Rabu lalu juga, bulu roma saya berdiri kencang, lalu teringat akan betapa bernilainya sebuah kemerdekaan itu dipertahankan. Itulah bentuk penghormatan ke atas perjuangan para pahlawan masa lalu,” katanya dalam lancar kata.

Jika ditelusuri falsafah kehidupan yang sepanjang hampir enam dekad kehidupan yang telah dilaluinya, rasanya tidak ada yang akan marah-marah kalau penulis meletakkan Amy sebagai ikon seorang lelaki yang merdeka dalam erti kata yang sebenar-benarnya.

Paling penting, Raja Rock & Roll ini sebagai lelaki yang sebenar-benarnya merdeka apabila kita melihat bagaimana dia tidak pernah terperangkap dalam jerangkap samar usia. Ketika sudah bercucu, dia kekal awet muda, ranggi dan sama gaya seperti 20 atau 30 tahun yang lalu.

Jiwa merdeka itu begitu menebal dalam diri, lewat aspirasi rasa dan karya-karyanya. Ini yang sekaligus menghantar makna, mahu menyaksikan seorang lelaki yang merdeka jiwa dan raganya, Amy adalah ‘suluhan’ yang menyala dan tepat sekali.

Pun, itu pendapat orang luar seperti penulis, bagaimanakah pula erti kemerdekaan bagi seorang lelaki berusia 59 tahun sepertinya? Apakah ia lambang keamanan yang menerbitkan jurus-jurus rasa yang sinonim dengan kebahagiaan, atau bagaimana?

“Kebebasan yang sebenar adalah mampu jadi diri sendiri, buat apa yang orang seusia saya buat dan tidak terkepung dalam jiwa sebagai seorang ‘artis’ popular misalnya. Ya, saya artis dan orang ramai mengenali Amy Search itu bagaimana. Tetapi dalam diri saya sendiri, melalui rukun-rukun hidup yang ringkas, itu kebebasan mutlak.

“Saya boleh naik Vespa, pergi ke pasar, mengisi minyak motosikal misalnya, atau mengambil anak pulang dari sekolah dengan semahunya saya, mengikut kebebasan masa yang saya ada.

“Diberi kesihatan yang baik, sehingga ke hari ini tanpa sebarang penyakit, rumah tangga yang bahagia dan bertahan, dikeliling anak-anak yang masih kecil, itu bahagia sebagai lelaki merdeka mengikut gaya dan cara tersendiri,” kata vokalis kumpulan rockers agam, Search ini.

Jiwa lelaki ini juga digugah lewat kisah-kisah peribadinya. Pernah melalui perkahwinan pertama dengan Faridah Fadzil (1983 – 1985), Norliza Abdul Latiff (1990 – 1994), Roslisa Ahmad (1995 – 2000) dan bercerai sebelum kemudian berkahwin dengan Norhasliza Hassan (Nourish) pada 2003 yang kekal sehingga kini, perkahwinan dan perceraian bagi Amy adalah ‘kemerdekaan’ jiwa yang sudah tertulis semenjak azali, buat dirinya.

Bukan bermakna kahwin dan cerai itu sesuatu yang membanggakan, bukan begitu.

“Jika masa boleh diulang, saya tetap bersyukur dengan kehidupan lalu yang meskipun pada awalnya tiga perkahwinan terdahulu gagal di tengah jalan. Jika tidak dengan kegagalan lalu, saya tidak punya kebahagiaan hari ini.

“Yang Maha Esa itu adil, saksama dan pemberiannya untuk apa juga takdir kehidupan kita, itu adalah aturan terbaik. Itu yang membuatkan saya bersyukur dan tidak pernah ada istilah patah balik ke belakang kerana Tuhan tidak pernah zalim kepada hamba-Nya,” katanya.

Lima anak yang lahir daripada benihnya, Nabila Huda, Irisha Myra, Alexander Zulkarnain, Sania Samara dan Qaqa At-Tameemi, mereka adalah amanah yang tidak pernah diabaikan. Malah, dalam usia sekarang, jika rezeki masih menjanjikan khabar yang baik, dia tidak menolak andai isterinya yang mesra disapa Nourish itu mengandung lagi.

Rezeki halal, jiwa tenang

Kesabaran bersamaan dengan ‘berbesar hati’ terhadap Allah. Percaya apa juga cabaran dan dugaan hidup itu diberi dengan bersebab, dugaan juga adalah nikmat yang tidak terlihat dengan sekali imbas pandangan mata.

Sejak lebih dua tahun lalu, Amy telah mendiami rumah mewah di Denai Alam, Shah Alam, lokasi penggambaran sesi fotografi ini. Rumah tiga tingkat itu adalah lambang kegigihan dan kejayaan Raja Rock & Roll ini, sekalipun bagi dirinya, harta dan wang ringgit bukan erti bahagia yang sebenarnya.

“Bahagia saya adalah pada hati yang tenang. Cukup sahaja dengan itu. Rezeki bukan soal berapa banyak anda menerima, tetapi ia perlu diiringi dengan keberkatan dan rasa ‘puas hati’. Sikit sahaja pun yang Allah bahagi, kita akan rasa cukup sahaja, itu kepuasan yang tidak boleh dibeli .

“Daripada rezeki limpah ruah, tetap dalam hati selalu timbul rasa tidak cukup, itu yang berbahaya. Semoga dijauhkan,” katanya.

Kemerdekaan bagi Amy juga adalah kebebasan jiwa dengan nilai dan batasan.

“Dalam rumah tangga juga misalnya, ada batasan, jangan salah gunakan. Hargai semua. Jika kita tidak tahu bersyukur, tersasarlah nanti,” katanya lagi.

‘Merdeka’ seorang lelaki tua

1. Memasuki usia enam dekad, Amy kekal cergas dan bergaya muda. Rahsianya? Buat benda-benda yang kita suka dan dekatkan diri dengan orang muda. Ini termasuk berkahwin dengan wanita yang jauh lebih muda, Amy menganggap perkahwinan dengan Nourish, 36 punya rahmat tersendiri.

“Isteri minat bersukan, saya terpaksa turut. Mula-mula saya rasa sakit badan sana sini, buat sebab terpaksa sebab ikut isteri. Lama kelamaan saya jadi suka dan cinta kepada scuba diving, memanjat gunung dan macam-macam lagi aktiviti lasak.”

Hasilnya, kata Amy dalam usia seperti ini, ketika rakan-rakan lain sudah kelihatan boroi dan sangat ‘atuk-atuk’, dia kekal berjiwa muda. Sukan lasak menjadikan dia tidak lagi takut berhadapan dengan ‘kematian’.

2. Punya anak kecil dan masih bersekolah rendah. Tidak, ia bukan detik yang membuatkan otak berkecamuk atau serabut serabai, sebaliknya ini booster pendorong jiwa untuk kekal rasa muda.

“Apabila anak masih kecil, kita nak kena selalu sihat, cakap dengan diri sendiri, kau tak boleh sakit, lemah tenaga zahir dan batin. Kalau anak sekecil itu kena jaga kita, memang tak ‘best’ dan sebab itu kita kena usaha untuk sentiasa fitkan diri.”

Pada usia sekarang, masih berpeluang melihat anak-anak kecilnya membesar depan mata, sesekali ‘bergaduh’ manja dengan cucu pula, itu adalah saat-saat ‘emas’ buat Amy. “Kalau pergi mana-mana, saya jadi sangat rindu kepada mereka. Rindu Sania, rindu Xander dan juga rindu Keisha (cucu).

“Saya selalu hendak ada di rumah kerana tidak mahu melepaskan saat-saat penting melihat mereka membesar depan mata, hantar dan ambil mereka di sekolah,” katanya.

3. Jangan tidak percaya, dalam keadaan sekarang, Amy masih gigih berusaha untuk tambah bilangan anak. “Kalau ada rezeki, saya mahu dua anak lagi. Dua lagi, cukuplah. Tengok isteri mengandung, dapat baby baru, oh, saya anggap ia adalah anugerah paling mahal,” ujar Amy.

4. Hampir 10 tahun lalu, selepas ditipu hampir RM2 juta oleh kawan baik sendiri, dia terkesan. Pun, tidak pernah ada istilah kalah dan menyerah, lalu menjadikan detik itu sebagai peluang terbaik untuk lebih dekad dengan Allah. “Maknanya, Dia hendak beritahu ‘Hey Amy, Aku sudah beri kepada kau dan Aku boleh ambil balik pada bila-bila masa sahaja.’ Saya didik hati untuk berdamai dengan takdir meskipun mencari duit dalam jumlah RM2 juta bukan dengan mudah.

Apa lagi Amy mahu?

“Tidak ada apa lagi, sungguh. Saya sudah berusaha untuk sampai ke tahap ini di mana semua perancangan sudah bertemu dengan titiknya. Sebenarnya, pada ketika kau mencapai mimpi itu, kau tidak akan sedar kau pada tahap mana. Tetapi apabila kau toleh ke belakang dan “Eh, aku sudah sampai ke sini.” Di situlah makna hidup yang paling indah,” katanya, berfalsafah.

Makna hidup yang lebih besar juga adalah dengan menggembirakan hati banyak orang. Walaupun sudah sampai ke tahap ‘sangat berpengaruh’ kepada nusa dan bangsa, masyarakat Malaysia dan juga peminatnya di Indonesia dan serata jiran yang lain, Amy mahu kekal sebagai Suhaimi Abdul Rahman yang membumi.

“Setiap kali saya berjalan, balik kampung dan berjumpa dengan orang ramai, saya tidak pernah rasa besar diri, setitik pun tidak rasa perasaan itu. Barangkali kerjaya saya banyak diperhatikan orang, tetapi di luar pentas Amy itu tetap orang yang biasa-biasa sahaja.

“Cuma, kalau orang datang kepada kau dan minta mahu bergambar misalnya, layanlah dengan sebaik mungkin. Kalau dengan bergambar itu boleh senangkan hati orang, beri bahagia kepada insan lain, itu pun adalah rezeki. Hidup saya sekarang, saya mahu menggembirakan hati banyak orang lain, mudah sahaja,” katanya lagi.-utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.