Video Kedua Dedah ADUN DAP Tahu Komplot Rasuah Babitkan Bapa

GEORGE TOWN – Klip video kedua kini muncul mendakwa wujudnya amalan rasuah dalam skim perumahan awam Pulau Pinang dan mengaitkan Adun Lim Siew Khim.

 

Susulan itu, Gerakan Pulau Pinang mendesak penjelasan Siew Khim, menggesa kerajaan negeri menyiasat rasuah dalam perumahan awam, dan mencabar Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Jagdeep Singh Deo bertanggungjawab serta meletakkan jawatan.

 

Naib Presiden 1 Gerakan Pulau Pinang Oh Tong Keong berkata Siew Khim perlu menjelaskan klip terbaru itu selepas pada awal minggu ini, beliau menafikan secara umum mengenai pembabitan bapanya, Lim Keat Seong dalam isu meminta rasuah bagi mendapatkan rumah mampu milik.

 

“Hari ini kami hendak tanya Siew Khim adakah kandungan video ini benar? Jika ia benar, maka kenapa dia kata tidak tahu pembabitan bapanya pada sidang akhbar beberapa hari lalu,” katanya dan menuduh Siew Khim tidak berterus terang dalam isu itu.

 

Setakat ini, Siew Khim masih belum memberi respons mengenai isu itu kepada FMT.

 

Video terbaru itu bertajuk “Isu rasuah rumah kos rendah Pulau Pinang bahagian 2”, dimuat naik awal hari ini oleh laman web politik tempatan, Penang Kini.

 

Ia mendakwa Siew Khim tahu mengenai pembabitan bapanya yang meminta rasuah untuk mendapatkan rumah mampu milik.

 

Bapanya kini disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan sedang ditahan reman.

 

Dalam klip video berdurasi 3 minit itu, seorang individu mendakwa jurucakap kepada pelanggan yang terkilan, menghubungi Siew Khim dan bercakap kepadanya dalam tempoh hampir 10 minit.

 

Bil telefon yang menunjukkan perbualan itu berlaku ditunjukkan sebagai bukti, dengan panggilan disenaraikan dibuat ke telefon bimbit Siew Khim pada jam 8.35 malam pada 26 Jun tahun lalu.

 

Paparan skrin jurucakap itu meminta seseorang yang lain bagi mendapatkan nombor telefon Siew Khim menerusi perbualan mesej turut ditunjukkan dan satu lagi mesej pada 9.08 malam kepada individu lain.

 

Mesej itu menyatakan:”Saya sudah menghubungi YB Lim tadi. Saya beri dia sehari untuk beri jawapan. Sama ada bapanya mahu berbincang bagaimana mahu memulangkan wang kepada mangsa. Jika dia tidak tipu orang, maka sudah tentu tak ada ramai orang yang mengadu mereka ditipu.”

 

Ia juga mendakwa abang angkat Siew Khim, “Ah Hin” ada menghubungi jurucakap berkenaan dalam tempoh sejam atau 2 jam kemudian memaklumkan Siew Khim meminta pertemuan dengan pelanggan terbabit dan seorang lagi yang tidak identitinya tidak dikenal pasti.

 

Awal minggu ini, Siew Khim dengan menangis menafikan sebarang pembabitan dan berkata tidak tahu tindakan bapanya. Siew Khim berkata beliau hanya tahu mengenainya selepas video pertama itu dikeluarkan.

 

Sementara itu, Jagdeep menafikan sesiapa boleh membayar rasuah untuk memotong giliran dalam sistem perumahan awam.

 

Bagaimanapun, Tong Keong berkata kerajaan negeri perlu menjalankan siasatan sementara jawatankuasa anti rasuah Gerakan Pulau Pinang yang diketuai Hng Khoon Leng mempertikaikan sama ada kerajaan negeri layak untuk menyiasatnya sendiri.

 

“Soalannya ialah bolehkah mereka jalankan siasatan dalaman, sedangkan rasuah berleluasa dalam kerajaan negeri? Jadi, bagaimana mereka boleh siasat sendiri? Mahukah Jagdeep meletak jawatan untuk ambil tanggungjawab dalam isu ini?,” katanya. – FMT

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.