Payudara Lambang Sebenar Perancis Bukannya Tudung, Kata Manuel Valls

PARIS — Perdana menteri Perancis mengundang kritikan dengan kenyataannya “payudara lebih melambangkan Perancis daripada tudung” ketika mengulas larangan “burkini.”

 

Manuel Valls menyebut demikian sebagai merujuk buah dada Marianne, simbol kebangkitan wanita yang turut terlibat dalam pembentukan republik Perancis pada awal abad ke-19.

 

Menyokong pengharaman pakaian renang burkini, beliau dipercayai merujuk lukisan popular Eugène Delacroix pada 1830, “ Liberty Leading the People” yang memaparkan imej wanita itu.

 

Lukisan wanita dengan dada telanjang sambil menjulang bendera tiga warna Perancis dan senapang bersama bayonet dilukis sempena Revolusi Julai yang menumbangkan sistem beraja.

 

“Marianne mempunyai payudara yang terdedah kerana dia memberi makan kepada rakyat! Dia tidak bertudung, kerana dia bebas! Inilah maknanya republik!” katanya, lapor The Guardian.

 

Akhbar popular di United Kingdom itu menyebut kenyataan Valls yang mengandaikan payudara dianggap simbol Perancis, sementara tudung itu bermasalah, mendapat kritikan ramai.

 

Mathilde Larrere, seorang sejarahwan revolusi Perancis, mengulas panjang lebar latar sejarah tersebut dalam tweet beliau.

 

“Marianne memaparkan payudara terdedah kerana ia hanyalah perlambangan, anda bodoh!” katanya, mengulas ucapan Valls malam Isnin lalu dalam satu perhimpunan kerajaan.

 

Bekas menteri Cécile Duflot berkata pujian Valls pada payudara Marianne memberi petunjuk bagaimana daifnya pandangan ahli politik lelaki Perancis terhadap wanita.

 

Suruhanjaya hak asasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa larangan burkini, pakaian mandi yang menutup seluruh badan kecuali muka, sejak Jun ditarik semula.

 

Ia menyifatkan pengharaman itu “reaksi bodoh” yang tidak meningkatkan keselamatan, sebaliknya memburukkan toleransi agama dan mengaibkan orang Islam, terutama wanita.

 

Suruhanjaya itu mengalu-alukan keputusan mahkamah tertinggi Perancis untuk menggantung pengharaman burkini pada minggu lepas dengan hujah perintah itu “jelas tidak sah.”

 

Keputusan mahkamah tersebut enggan diterima oleh kebanyakan datuk bandar yang memperkenalkan larangan pakaian renang itu, selalunya dipakai wanita Islam.

 

Awal minggu ini, lapor The Guardian lagi, lebih 20 datuk bandar daripada 30 majlis tempatan dilaporkan tidak mengendahkan keputusan mahkamah tersebut. – MalayMail

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.