Melaka Tawar Tanah Buat Liu Ying

KERAJAAN Melaka semalam membuat tawaran kepada pemain badminton beregu campuran kebangsaan, Goh Liu Ying untuk membeli tanah lot dengan harga premium bagi menghargai kejayaan jaguh kelahiran negeri itu meraih pingat perak pada temasya Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil baru-baru ini.

 

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron berkata, tawaran tersebut melibatkan tanah lot berkeluasan 5,000 hingga 10,000 kaki persegi terletak di Semujuk serta Durian Tunggal yang merupakan kawasan tanah kurnia milik kerajaan negeri.

 

“Tawaran ini merupakan salah satu bentuk penghargaan kerajaan negeri kepada Liu Ying atas kejayaan mengharumkan nama negara di Olimpik.

 

“Saya difahamkan, kira-kira 10,000 individu memohon untuk memiliki 600 lot tanah di dua kawasan berkenaan dan kita memberi kelebihan (tawaran) ini kepada Liu Ying untuk memohon,” kata Idris ketika ditemui.

 

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menerima kunjungan Liu Ying bersama keluarganya di Kediaman Rasmi Ketua Menteri di Ayer Keroh semalam.

 

Penghargaan tersebut merupakan yang ketiga diberikan kerajaan negeri Melaka kepada Liu Ying setakat ini.

 

Sebelum ini, Idris mengumumkan ganjaran wang tunai RM25,000 serta Pingat Bakti Cemerlang Melaka kepada pemain berusia 27 tahun tersebut atas kejayaan sama.

 

Idris menambah, pencapaian pingat perak Olimpik diraih gadis dari Batu Berendam itu bersama gandingan regu, Chan Peng Soon telah mencipta satu penanda aras baharu terhadap imej sukan badminton negara.

 

Tambah Idris lagi, ia juga menunjukkan Melaka mampu melahirkan jaguh bertaraf antarabangsa, selain menjadi atlet pertama dari negeri itu yang memenangi pingat Olim­pik.

 

“Kejayaan meraih pingat itu juga dilihat menyatukan rakyat Malaysia sebagai satu bangsa, satu negara dan satu tanah air dalam suasana sangat muhibah,” tambah Idris.

 

Sementara itu, Liu Ying ketika ditemui mengakui berasa berbesar hati berhubung tawaran tersebut dan bercadang membuat permohonan pembelian dalam masa terdekat.

 

Mengulas berhubung persiapan menghadapi kejohanan Siri Super pada tahun ini serta Kejuaraan Badminton Dunia tahun depan, Liu Ying berkata, dia akan kembali menjalani latihan bermula Isnin ini iaitu selepas pulih daripada kecederaan.-Kosmo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.