Kenalan Lelaki Ajak Maya Karin Jalin Hubungan Serius

KUALA LUMPUR – Selepas enam tahun hidup solo, pelakon terkenal, Maya Karin mendedahkan dirinya ‘dilamar’ seorang jejaka yang mahu menjadikannya teman istimewa.

 

“Saya tidak menafikan ada kenalan yang cuba mendekati, Januari lalu, dan mahu kami mencuba fasa hubungan yang lebih serius.

 

“Jujurnya, saya sendiri sukar untuk bercerita mengenainya, tetapi tidak salah kalau berkawan,” katanya sambil tertawa ketika ditemui pada sesi fotografi bersama media, di sini baru-baru ini.

 

Beliau mengakui perkara itu tatkala ditanya mengenai kemungkinan hatinya kini sudah pun terisi selepas rumah tangga dibina bersama Steven David Shorthose atau nama Islamnya Muhammad Ali Abdullah, pada 2008, berakhir dia tahun kemudian.

 

Aktres Terbaik, Festival Filem Asia Pasifik ke-49 itu berkata, beliau selesa dan tidak pun mempunyai sebarang masalah menjalani kehidupan sendirian.

 

Begitupun, bintang jelita berusia 36 tahun ini tidak menolak andai dirinya dipertemukan dengan lelaki yang sesuai dengannya suatu hari nanti.

 

Diajak berbual lebih lanjut mengenai lelaki yang menghulurkan salam perkenalan kepada dirinya itu, Maya memilih untuk tidak terlalu bercerita mengenainya.

 

“Dia tiga tahun lebih tua daripada saya dan bukan daripada kalangan orang industri,” katanya.

 

Pelakon filem Jwanita ini juga sebelum ini pernah memberitahu media, beliau mahu mengelak daripada terbabit dengan cinta jarak jauh yang dirasakan tidak serasi dengannya.

 

Sementara itu, Maya bakal bersaing merebut gelaran Pelakon Wanita Terbaik ketiga buat dirinya pada Festival Filem Malaysia (FFM) ke-28 yang akan mencapai kemuncaknya Sabtu ini.

 

Pada festival kali ini, Maya dicalonkan dalam kategori terbabit menerusi dua filem, masing-masing Jwanita dan Nota.-BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.