Isu Zika Dibawa Ke Kabinet Minggu Depan

IPOH – Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan akan membawa isu Zika ke mesyuarat Kabinet minggu depan bagi membincangkan langkah yang perlu diambil untuk mencegah ia daripada menular di negara ini.

 

 

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, isu itu perlu dibincangkan secara terperinci dalam kalangan jemaah menteri agar ia tidak menjejaskan kemasukan pelancong ke Malaysia.

 

 

“Perkara itu perlu dibincangkan pada mesyuarat Kabinet akan datang untuk tindakan yang perlu diambil, jika tiada siapa yang bawa (isu Zika), saya akan bawa.

 

 

“Kita kena ambil tindakan cepat untuk memastikan virus ini tidak menular di Malaysia kerana sudah tentu ia membimbangkan terutama kepada pelancong,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan tapak pelancongan Waterfront City di Lahat Mines di sini hari ini.

 

 

Mohamed Nazri juga meminta Kementerian Kesihatan meningkatkan langkah berjaga-jaga dan pencegahan berikutan kebimbangan virus Zika terus merebak.

 

 

“Selain itu, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan orang ramai perlu memastikan kawasan persekitaran rumah bersih dan bebas daripada tempat pembiakan nyamuk Aedes,” katanya.

 

 

Setakat semalam, 115 kes Zika direkodkan di Singapura, sementara Malaysia mencatatkan kes pertama apabila seorang wanita dari Klang, disahkan positif dijangkiti virus itu, selepas pulang dari Singapura pada 21 Ogos lepas. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.