Risteena Kalis Cemuhan

Pelakon muda Risteena Munim, pernah menjadi sasaran segelintir peminat dalam industri yang melabelkannya sebagai pelakon kayu ketika awal kemunculannya menerusi drama Playboy Itu Suami Aku.

 

Namun kritikan itu tidak mematahkan semangat pelakon berusia 25 tahun ini untuk terus mengorak langkah melawan arus negatif.

 

Kata Risteena, manusia mampu berubah menjadi lebih baik. Asalkan diberi peluang untuk memajukan diri. Bahkan, dalam masa sama pelakon kelahiran Kepala Batas, Pulau Pinang itu turut mengiyakan bahawa kritikan negatif sebenarnya mampu membantu mendidik jiwa pelakon baharu sepertinya.

 

Baginya, itu semua fitrah dan realiti yang harus dilalui mana-mana pelakon baharu yang sedang bertatih dalam dunia hiburan.

 

Menyifatkan segala kritikan pedas selaku proses pembelajaran terbaik, Risteena melapangkan dada dan fikiran menerima perkara tersebut sebagai pengalaman yang banyak mengajarnya.

 

“Saya percaya tidak semua pelakon dilahirkan dengan bakat yang hebat pada awal pembabitan mereka. Sejujurnya saya tidak malu untuk mengaku kekurangan diri. Memang dahulu saya tidak pandai berlakon dan keras di hadapan kamera.

 

“Saya anggap semua itu sebagai pengalaman yang mengajar erti dewasa. Saya percaya semua orang pernah mengalami pengalaman kurang matang seumpama itu.

 

“Bagaimanapun, saya percaya pengalaman dan praktikal dalam lakonan merupakan asas paling penting untuk saya terus belajar mendalami ilmu lakonan. Hal itulah yang saya praktikkan kini supaya skil lakonan saya bertambah baik,” tuturnya yang bakal muncul menerusi filem Girlfriend Kontrak yang akan ditayangkan mulai 24 September ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.