Khalid Samad Akui Bersih 4.0 Kurang Sokongan Melayu

SHAH ALAM – Seorang tokoh Gerakan Harapan Baru (GHB) mengakui perhimpunan Bersih 4.0 yang lalu kurang mendapat sambutan daripada orang Melayu tetapi menolak dakwaan bahawa jumlah kehadiran mereka hanyalah 10 peratus.

 

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, memberi alasan sambutan malap daripada orang Melayu ini adalah kerana mereka khuatir akan berlaku keganasan, perbalahan kaum ataupun tindakan polis dan fatwa dikeluarkan beberapa mufti.

 

Namun beliau menolak pendapat bahawa ketidakhadiran orang Melayu itu adalah kerana mereka menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

 

Begitupun, beliau turut mengakui kehadiran kaum Melayu dalam Bersih 4.0 akan lebih ramai sekiranya perhimpunan itu mendapat sokongan PAS.

 

“Saya tidak nafikan sekiranya PAS bersama pada ketika itu mungkin jumlah (peserta Melayu) akan bertambah lagi. Tetapi yang penting adalah pada hakikatnya menolak kepimpinan (Datuk Seri) Najib.

 

“Ketidakhadiran mereka (orang Melayu) juga bukan kerana mereka sokong Najib, tapi oleh kerana kekeliruan yang mereka hadapi dengan adanya fatwa daripada beberapa mufti,” katanya di ibu pejabat beliau.

 

Sebelum ini, PAS menerusi Timbalan Presidennya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata parti itu hanya menghantar tiga wakil ke himpunan haram berkenaan.

 

Ia atas arahan presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kerana PAS tidak dijemput untuk bersama-sama menganjurkan Bersih 4.0 pada Sabtu dan Ahad lalu.

 

“Saya boleh bersetuju bahawa jumlah Melayu pasti bertambah sekiranya PAS terlibat sekali, namun demikian saya menafikan bahawa jumlah Melayu yang turun adalah sebanyak 10 peratus. Di antara faktor mengapa orang Melayu ramai yang tidak turun.”

 

“Faktornya adalah ketakutan bahawa akan berlaku keganasan dan perbalahan kaum ataupun tindakan polis untuk meleraikan. Maka itulah sebabnya mengapa bila hari terakhir itu apabila semuanya berjalan dengan baik, maka jumlah orang Melayu yang turun bertambah,” ujar Khalid lagi.

 

Bersih 4.0 yang berhimpun selama 36 jam disifatkan gagal menarik minat masyarakat Melayu kerana ketiadaan penyertaan PAS kali ini.

 

Ada media tempatan juga mendakwa Bersih 4.0 tersasar daripada matlamat asalnya apabila menjadi platform pembangkang menyemai kebencian terhadap kerajaan. – AntaraPos

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.