Empat Anggota Tentera Pengaman PBB Terbunuh Di Mali

Bamako – Sekurang-kurangnya empat anggota tentera pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terbunuh dan 15 cedera apabila konvoi mereka terkena periuk api di utara Mali semalam.

Tentera pengaman dari Chad itu sedang dalam perjalanan pulang dari bandar Kidal yang bergolak apabila kenderaan yang mereka naiki terkena periuk api kira-kira 30 kilometer dari bandar berkenaan, kata jurucakap pasukan Olivier Salgado.

Katanya, enam daripada mereka yang cedera mengalami kecederaan parah.

Salgado bagaimanapun tidak menyatakan siapa yang melakukan serangan itu. Namun kumpulan al-Qaeda di negara berkenaan pernah mendakwa bertangungjawab bagi beberapa serangan sejak akhir-akhir ini terhadap tentera pengaman PBB.

Majlis Keselamatan PBB, dalam satu kenyataan, mengutuk sekeras-kerasnya serangan ke atas tentera pengaman Chad itu dan menegaskan sokongan penuh terhadap misinya di Mali.

“Serangan ini tidak akan mengubah azam PBB untuk menyokong rakyat Mali dalam usaha mereka mencapai perdamaian,” kata kenyataan yang dikeluarkan oleh jurucakap Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon. – AP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!