KUALA LUMPUR – Rasionalisasi subsidi, khususnya bahan api perlu dilaksanakan secara berperingkat bagi membolehkan pasaran melaksanakan penyelarasan sewajarnya.
Pengarah Program Falsafah, Politik dan Ekonomi Taylor’s University Malaysia, Dr Ong Kian Ming berkata, perlu ada kejelasan pengurangan subsidi berkenaan akan dapat digunakan untuk tujuan lain seperti disalurkan kepada Kementerian Kesihatan bagi menangani isu doktor kontrak dan kekurangan katil hospital.
“Peruntukan daripada pengurangan subsidi bahan api mungkin (boleh) disalurkan untuk meningkatkan keupayaan pengangkutan bukan sahaja di Lembah Klang, malah bandar lain seperti Kota Bharu, Kelantan, Johor Bahru atau bandar yang kurang mendapat perhatian.
“Sebahagiannya boleh digunakan untuk bantuan tunai kepada rakyat sebagaimana yang disalurkan menerusi Sumbangan Tunai Rahmah (STR),” katanya kepada media selepas menjadi ahli panel perbincangan bersempena pengumuman laporan Bank Dunia bertajuk Membina Daya Tahan Malaysia: Pengajaran Impak Ekonomi Daripada COVID-19 dan Tindak Balas Dasar lapor BH pada Khamis.
Turut hadir, Setiausaha Bahagian Fiskal dan Ekonomi Kementerian Kewangan, Dr Mastura Abdul Karim; dan Setiausaha Agung Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Malaysia, Chin Chee Seong.
Kian Ming berkata, sudah pasti ada cabaran dalam melaksanakan subsidi bersasar khususnya membabitkan bahan api, namun rasionalisasi itu membolehkan kerajaan memiliki ruang untuk memberi sokongan kepada golongan B40 dan M40 yang masih terjejas.
“Penjimatan daripada pengurangan subsidi bahan api ini membolehkan kerajaan mewujudkan inisiatif yang lebih menyeluruh dalam membantu rakyat.
“Kita mengharapkan pengumuman Belanjawan 2024 nanti akan ada program atau inisiatif yang lebih menyeluruh,” katanya.
Sementara itu, Kian Ming berkata kerajaan wajar menyepadu dan menggunakan data yang diperoleh ketika COVID-19 membabitkan perniagaan serta individu bagi menyalurkan bantuan yang lebih baik dan menyeluruh.
Beliau berkata, penggunaan data secara strategik menerusi inisiatif di bawah Pangkalan Data Utama (PADU) akan membolehkan kerajaan menggunakan mekanisme bantuan bersasar bagi membantu golongan yang memerlukan.
“Apa yang dipelajari kerajaan adalah menggunakan data yang diperoleh sama ada daripada syarikat atau individu semasa pandemik untuk digunakan secara strategik.
“Kerajaan perlu memiliki pendekatan menyeluruh bukan hanya untuk memerangi COVID-19, malah menangani beberapa isu jangka panjang pasca pandemik.
“Pada pandangan saya, kerajaan perlu melihat pendekatan yang lebih terkini,” katanya.