Mata Wang Ringgit Diniagakan Rendah Berbanding Dolar AS

KUALA LUMPUR – Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS hari ini sejajar dengan mata wang Asia sedang pesat membangun susulan kebimbangan mengenai ketegangan perdagangan yang semakin meningkat antara Amerika Syarikat dan China.

Pada 9 pagi, ringgit berada pada 4.0780/0830 berbanding dolar AS daripada 4.0740/0780 semalam.

Ketua Dagangan Asia Pasifik Oanda Corp Stephen Innes berkata sentimen risiko merosot berikutan retorik berterusan mengenai cadangan Presiden AS Donald Trump menaikkan tarif kepada 25% ke atas import China berbanding kadar 10% sebelum ini.

China mendakwa mereka akan mengenakan langkah tindak balas.

“Pasaran kelihatan memberi reaksi kepada perang perdagangan AS-China berikutan dolar AS mengukuh berbanding Renminbi China, dan minat pelabur beralih kepada dolar AS,” katanya.

Berbanding mata wang utama lain, ringgit diniagakan tinggi.

Ia naik berbanding dolar Singapura kepada 2.9790/9838 daripada 2.9805/9838 pada Khamis dan meningkat berbanding pound British kepada 5.3079/3165 daripada 5.3284/3352.

Ringgit naik berbanding euro kepada 4.7248/7314 daripada 4.7303/7358 dan meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.6495/6550 daripada 3.6528/6574 semalam. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.