Jenazah Exco Selangor Selamat Dikebumikan

SEPANG – Jenazah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor, Prof. Dr. Shaharuddin Badaruddin selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Taman Raudahatul Jannah Khairiah Masjid Jamiurrahmah Kampung Limau Manis Sungai Merab di sini pada pukul 9.45 pagi.

Terdahulu, lebih 500 jemaah menyertai solat jenazah ke atas Shaharuddin yang diadakan Masjid Jamiurrahmah.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail turut meluangkan masa menziarah jenazah di masjid itu.

Antara yang hadir menziarah jenazah adalah Menteri Kesihatan, Dr. Dzulkefly Ahmad, Timbalan Menteri Industri Utama, Shamsul Iskandar Md. Akin, Naib Presiden PKR, Tian Chua dan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.

Shaharuddin, 56, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Setia menghembuskan nafas terakhir pada pukul 6.28 petang semalam di Hospital Putrajaya.

Pada Isnin lalu, Shaharuddin yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi dipercayai menghidap kanser kolon dilaporkan tenat tetapi berita itu nafikan keluarganya.

Selepas itu, Pejabat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor turut mengeluarkan kenyataan yang menyatakan Shaharuddin hanya berehat selama sebulan selepas menjalani rawatan.

Shaharuddin adalah bekas Timbalan Naib Canselor Universiti Selangor (Unisel) dan Ahli Lembaga Pengarah Institut Darul Ehsan (IDE).

Beliau dilantik menjadi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Ne­geri Selangor selepas memenangi kerusi DUN Seri Setia pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.