Donald Trump Sedia Berperang Dengan Korea Utara

WASHINGTON – Donald Trump dikatakan sanggup berperang memusnahkan Korea Utara bagi menghalang negara itu terus membangunkan peluru berpandu nuklear jarak jauh.

Perkara itu disampaikan presiden Amerika Syarikat (AS) itu kepada seorang senator Parti Republikan, Lindsey Graham.

Graham yang diwawancara rancangan Today Show terbitan NBC berkata, ada pilihan ketenteraan untuk memusnahkan perancangan Korea Utara dan negara itu sendiri.

Minggu lalu, pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un dengan bangga menyatakan bahawa negaranya kini boleh me­nyerang mana-mana sasaran di AS selepas menjalankan ujian peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) terbaharu.

Negara kuasa besar dunia telah cuba untuk menyekat program senjata Pyongyang melalui sekatan yang disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), tetapi gagal sekali gus membuatkan Washington kecewa.

Graham berkata, jika diplomasi dan tekanan khusus daripada jiran Korea Utara, China gagal menghentikan program tersebut, maka AS tidak mempunyai pilihan selain mengambil tindakan ketenteraan.

“Perang akan tercetus dengan Korea Utara berhubung program peluru berpandu jika mereka terus cuba mensasarkan AS dengan ICBM,” katanya menerangkan perbincangan dengan Trump.

“Presiden memberitahu saya sedemikian. Saya percaya padanya. Jika saya China, saya akan mempercayainya juga dan melakukan sesuatu. Kamu boleh menghentikan Korea Utara sama ada secara ketenteraan atau diplomasi.

“Saya lebih suka pendekatan diplomasi. Tetapi, mereka tidak akan dibenarkan memiliki peluru berpandu untuk menyerang AS dengan senjata nuklear,” katanya. – AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.