Selangor Akui Gagal Urus Sampah

SHAH ALAM – Kerajaan PKR Selangor mengakui gagal menguruskan kutipan sampah dengan baik, namun menganggap perkara tersebut sebagai isu terpencil dan tidak perlu diperbesar-besarkan berikutan longgokan sampah hanya berlaku di kawasan-kawasan tertentu.

 

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baharu negeri, Ean Yong Hian Wah (DAP-Seri Kembangan) berkata, masalah berkenaan banyak berlaku di kawasan pinggir bandar berikutan ketiadaan pelan tersusun.

 

“Tiada pelan yang direka untuk memastikan penduduk di pinggir bandar atau kampung membuang sampah dengan lebih elok. Sampah dibuang secara tidak tersusun di merata-rata tempat.

 

“Kerajaan negeri sudah arah pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk menghantar tong sampah besar dan diletakkan di kawasan sesuai supaya penduduk di pinggir bandar dan kampung boleh membuang sampah.

 

“Buat masa ini, bukan semua (tempat) sudah laksanakan. PBT boleh memohon kepada kerajaan negeri sekiranya perlukan tong sampah yang besar,” katanya ketika menjawab soalan Mohd. Haslin Hassan (Pas-Tanjung Sepat) dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

 

Sementara itu, ketika menjawab soalan Datuk Shamsuddin Lias (BN-Sungai Burong) mengenai isu sampah dalam longkang dan parit sehingga mengeluarkan bau busuk, Hian Wah mendakwa, masalah tersebut adalah di bawah bidang kuasa Jabatan Kerja Raya (JKR) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), bukannya PBT.

 

“PBT hanya bertanggungjawab kutip sampah domestik. Kalau di kawasan yang bawah bidang kuasa JKR dan JPS, terpulang kepada jadual masing-masing,” katanya. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.