Zahid, Hishammuddin Bincang, Jernihkan Kekeliruan Dalam Umno

Kuala Lumpur – Dua naib presiden Umno merangka usaha berstruktur untuk menjernihkan suasana dan kekeliruan dalam kalangan ahli parti berikutan rombakan Kabinet, Selasa lepas.

 

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau berbincang dengan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkenaan langkah yang harus dilaksanakan bagi memberikan penjelasan di semua peringkat.

 

Penjelasan termasuklah berkaitan komitmen Timbalan Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk meneruskan perjuangan memartabatkan parti walaupun tidak disenaraikan dalam jemaah menteri yang baharu diumumkan Selasa lepas, katanya.

 

“Selain berbincang tentang bagaimana Umno harus disatukan di semua peringkat, kami selaku naib presiden parti juga membincangkan bagaimanakah langkah-langkah yang harus diambil bagi menjelaskan kedudukan sebenar supaya apa yang telah dilontarkan oleh Muhyiddin dapat dihormati oleh semua,” katanya.

 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat Hishammuddin, yang juga menteri pertahanan, di pejabatnya di Putrajaya hari ini.

 

Pada rombakan Kabinet Selasa lepas, Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri, dilantik sebagai timbalan perdana menteri bagi menggantikan Muhyiddin yang digugurkan daripada barisan Kabinet.

 

Muhyiddin antara lain menyatakan menerima secara terbuka keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk tidak menyenaraikannya dalam Kabinet baharu, malah komited menjalankan tugasnya sebagai timbalan presiden Umno dan membantu Najib selaku presiden memperkukuhkan parti untuk menghadapi pilihan raya akan datang.

 

“Yang penting setiap ahli parti harus dijelaskan mengenai pendirian Muhyiddin yang berjanji untuk melaksanakan apa yang beliau katakan walaupun sebenarnya tidak ada faktor yang boleh menyekatnya untuk memberikan pendapat,” kata Zahid.

 

Zahid berkata beliau dan Hishammuddin sepakat agar langkah itu harus dilaksanakan segera bagi menghindarkan unsur luar yang mempengaruhi segala permasalahan yang dirasakan wujud dalam kalangan kepimpinan parti.

 

“Biarpun akan mengambil masa, kami yakin usaha berstruktur berdasarkan ‘story board’ yang dirancang untuk digunakan semua kepimpinan parti yang lain dapat menjernihkan suasana dan situasi yang agak mengelirukan di bawah walaupun pada keseluruhannya ahli parti tetap bersama dengan kepimpinan utama parti dan kerajaan,” katanya.

 

Mengenai kerjasama Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pertahanan, Zahid berkata pengalaman beliau bersama Hishammuddin mengetuai kedua-dua kementerian memudahkan mereka melaksanakan perancangan yang dibuat.

 

“Kami mempunyai jalinan kolobarasi melalui kerjasama strategi lautan biru sejak sekian lama jadi kebersamaan dalam pelaksanaan tugas tidak akan bertindih,” katanya.

 

Kedua-dua pemimpin mengadakan pertemuan tertutup hampir 2 jam sejurus ketibaan Hishammuddin pada 12.45 tengah hari, kunjungan sulung seorang menteri Kabinet sejak Zahid diumumkan sebagai timbalan perdana menteri.

 

Zahid secara rasmi memasuki Pejabat Timbalan Perdana Menteri di Perdana Putra hari ini. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.