Saya Setia Pada UMNO, Tidak Akan Sertai USNO – Shafie Apdal

Kuala Lumpur – Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mempunyai pendirian yang sama dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin apabila menyatakan secara terbuka bahawa beliau tetap setia dengan UMNO.

 

Menurutnya, meskipun digugurkan daripada Kabinet, beliau tetap akan terus menjalankan tanggungjawab demi parti, rakyat dan Negara.

 

“Banyak fitnah disebarkan selepas saya digugurkan sebagai Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, sampai ada mengatakan saya akan menyertai Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO). Ia adalah fitnah yang tidak berasas kerana saya akan tetap berdiri teguh dan setia bersama UMNO.

 

“Saya merupakan salah seorang pengasas UMNO di Sabah dan saya meminta semua anggota UMNO terus menyokong parti keramat ini. Oleh itu kita perlu sama-sama bersatu untuk memperkasakan UMNO,” katanya di hadapan kira-kira-kira 20,000 tetamu yang menghadiri majlis pemimpin bersama rakyat di perkarangan kediamannya di Semporna, Sabah.

 

Naib Presiden UMNO itu berkata, beliau akan terus memberi tumpuan kepada jawatannya dalam parti serta berjuang memperkasakan parti itu.

 

Katanya, beliau tidak mengejarkan pangkat dan jawatan sebaliknya perkhidmatan kepada rakyat menjadi teras perjuangannya dalam parti keramat orang Melayu itu.

 

“Pengguguran daripada Kabinet tidak menghilangkan fokus saya untuk terus berkhidmat dan bersuara untuk seluruh rakyat di negara ini,” ujarnya yang dipetik daripada Bernama.

 

Pada masa sama, beliau yang juga Pengerusi Biro Keahlian Baru dan Daftar Pemilih UMNO meminta semua anggota parti mendaulatkan parti dengan menghormati pucuk pimpinan.

 

Selain itu, beliau meminta semua anggota UMNO terus bersatu padu dan jangan melakukan sebarang tindakan yang boleh merosakkan parti.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.