Pengguna Media Sosial Kagum Keberanian Lan Pet Pet

Kuala Lumpur – Tindakan yang tidak mementingkan diri bekas ahli kumpulan Senario, Mazlan Ahmad, lebih dikenali sebagai Lan Pet Pet, yang membahayakan diri sendiri untuk menyelamatkan mangsa kemalangan mendapat pujian netizen.

 

Menurut Fairuz Arshad, saksi kejadian itu yang kemudian memuat naik gambar Lan Pet Pet menyelamatkan mangsa di laman Facebook berkata, dia datang dari arah bertentangan jalan dan membahayakan nyawa sendiri apabila melintas jalan yang sibuk untuk membantu mangsa India itu.

 

Berdasarkan keterangan Fairuz, dia kagum dengan tindakan Lan Pet Pet yang membuktikan bahawa menjadi pelakon bukan halangan untuk beliau menolong mereka yang memerlukan.

 

Di ruangan pengguna Facebook, Anna Adriana berkata: “Lan Pet Pet memang baik orangnye.”

 

Seorang lagi pengguna Facebook, Sukri Ramli berkata: “Payah nak cari artis macam ni, rendah diri.”

 

Dalam gambar yang dikongsi oleh Fairuz, Lan Pet Pet dilihat melintas jalan dan menolong mangsa berbangsa India di tepi jalan.

 

Sementara itu pelakon komidi itu tidak menyangka niatnya untuk membantu penunggang motosikal yang menjadi mangsa kemalangan jalanraya, menjadi viral di media sosial.

Lan Pet Pet atau nama sebenarnya Mazlan Ahmad mengesahkan kejadian itu dan mengatakan beliau waktu itu bersama ibunya, Hasmah Abdullah, 87, dalam perjalanan ke bandar Alor Setar.

 

“Ketika melepasi Masjid Zahir saya melihat sendiri sebuah motorsikal yang menghala ke Menara Alor Setar telah dilanggar oleh sebuah kereta. Penunggang motosikal itu jatuh di tengah jalan. Saya terkejut dan terus memberi lampu kecemasan dan memberhentikan kenderaan.

 

“Saya tidak fikir panjang dan terus menyeberang jalan untuk membantu mangsa yang masih berada di tengah jalan,” ceritanya kepada sebuah portal.

 

Katanya, dia terus membantu mangsa membawanya ke tepi jalan dan mengutip barang-barang yang bertabur di atas jalan raya.

 

Menurut Lan Pet Pet, dia menunggu bersama mangsa sehingga seorang polis peronda tiba di lokasi.

 

“Masa itulah baru saya teringat saya tinggalkan ibu dalam kereta seorang diri. Saya cuma dapat tahu daripada kawan-kawan di whatsApp bahawa gambar saya bantu penunggang motosikal itu jadi viral dan disebarkan di laman sosial.

 

“Saya memang tidak boleh lihat mangsa kemalangan, kalau boleh saya akan turun dan membantu,” katanya sambil mengucapkan terima kasih kepada individu yang memuat naik gambarnya itu.

 

Beliau berada di Alor Setar sejak tiga hari lalu untuk menjalani penggambaran satu program televisyen dan akan kembali ke Kuala Lumpur esok.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.