Pembangkang Sedia Dedah Dana Politik

Batu Kurau – Parti pembangkang sedia mendedahkan maklumat dana politik sekiranya diminta.

 

Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali berkata, pembangkang sudah bersedia sejak awal dan tiada masalah untuk berbuat demikian kerana ia seiring dengan dasar parti.

 

“Malahan setiap sumbangan yang diterima itu perlu didedah secara terbuka dan dilaporkan secara telus,” katanya kepada Sinar Harian selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri PKR Cabang Larut, semalam.

 

Hadir sama, Pengerusi PKR Negeri yang juga Ketua PKR Cabang Larut, Dr Muhammad Nur Manuty.

 

Menurutnya, pendedahan setiap dana yang diperoleh parti politik bukan sahaja melibatkan pembangkang malah BN seharusnya melakukan perkara sama bagi memastikan ada ketelusan dalam pembiayaan tersebut.

 

“Hal ini dapat kita lihat ia telah menjadi amalan di negara Jerman apabila setiap parti politik itu perlu dibiayai dengan akta dan peruntukkan yang jelas.

 

“Pendedahan tersebut perlu dilakukan secara terbuka dan telus,” katanya.

 

Beliau berkata ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mahukan pihak pembangkang juga perlu membuat pendedahan berhubung dana yang mereka peroleh.

 

Ahmad Zahid berkata, tidak adil jika hanya desak BN sahaja dedah sumber dana diperoleh sebaliknya pembangkang juga perlu mengisytiharkan dana mereka.  – Sinar Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.