Nelayan Dikhuatiri Lemas

Pontian – Seorang nelayan dikhuatiri lemas, manakala rakannya terselamat, selepas bot nelayan kecil yang dinaiki mereka terbalik dan karam di luar perairan Api-api, pagi tadi.

 

Faizal Suhep, 40, hilang sejak kira-kira jam 3 pagi tadi, manakala rakannya, Anizam Azim, 44, diselamatkan nelayan lain kira-kira 8 jam kemudian.

 

“Kedua-dua nelayan itu keluar menangkap ikan kira-kira jam 5 petang semalam dan insiden itu dipercayai berlaku kira-kira 10 jam kemudian,” kata jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor.

 

Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Pontian Baru dihantar ke tempat kejadian, selepas dimaklumkan mengenai kejadian itu kira-kira jam 1.40 tengah hari tadi.

 

Difahamkan, ombak kuat akibat cuaca buruk telah memukul bot nelayan sepanjang 5.8 meter itu, menyebabkan ia terbalik dan karam.

 

Anizam kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan dirawat di sebuah klinik di Ayer Baloi, Pontian.

 

Operasi pencarian masih dijalankan sebuah bot Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan polis marin.

 

“Operasi bersama itu masih dijalankan,” katanya sambil menambah, 20 nelayan dari kawasan sekitar Pontuan turut menyertai operasi pencarian itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.