MCKK Juara Pertandingan Bahas Piala Perdana Menteri

KUALA LUMPUR –  “Tidak sangka kami mengekalkan kejuaraan dan membawa pulang piala Perdana Menteri. Persediaan lapan bulan akhirnya berbaloi dan menggembirakan seluruh warga sekolah,” kata Amir Aniq Abdul Hazis, 18, peserta Pertandingan Bahas Piala Perdana Menteri Sekolah Berasrama Penuh ke-42 kategori Bahasa Inggeris mewakili Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK).

 

MCKK mengekalkan kejuaraan dua tahun berturut-turut menewaskan pencabarnya daripada Kolej Tuanku Kurshiah (TKC), Negeri Sembilan dalam pertandingan akhir diadakan di Dewan Tun Razak, Menara Berkembar Bank Rakyat, di sini, semalam.

 

MCKK diwakili Amir Aniq, Imran Kamaruddin, 17, Shaikh Md Iskandar Zulkifly Ali, 17, dan Muhammad Nur Raziq Marzuki, 17, sebagai pembangkang diberi tajuk ‘This House Believes that the United Nation Human Rights Council should be Abolished?’ mencuit hati juri sekali gus menewaskan barisan peserta wanita TKC.

 

Amir Aniq yang dinobatkan pembahas terbaik berkata, dia bersyukur membawa pulang piala itu dan menyifatkan penat lelah, usaha dan latihan yang dijalani sebelum pertandingan akhirnya membuahkan hasil.

 

“Kami bersyukur kerana guru banyak membimbing dan memberikan motivasi sebagai persediaan sebelum memasuki pertandingan ini.

 

“Tahun ini paling mencabar berikutan semua peserta yang mewakili sekolah masing-masing sangat hebat dan membuat kami gelisah dan risau untuk mengekalkan kemenangan,” katanya yang bercita-cita menjadi ahli politik.

 

Sementara itu, kategori bahas Bahasa Melayu dimenangi Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR), Perak yang menewaskan naib johan tahun lalu, Sekolah Menengah Agama Persekutuan (SMAP) Kajang.

 

Ketua pembahas sekolah berkenaan, Muhammad Afif Nazhan Mohd Hasni, 16, berkata, selepas empat tahun berusaha merebut kembali kejuaraan dimenangi akhirnya usaha mereka nyata berbaloi.

 

“Tidak sangka tahun ini kami membawa pulang kembali Piala Perdana Menteri ke sekolah kami.

 

“Persediaan yang dilakukan sangat rapi bermula awal tahun ini sebagai usaha untuk mengembalikan semula piala berprestij ini ke STAR,” katanya.

 

Juara membawa pulang wang tunai RM4,000, sijil penyertaan dan piala pusingan manakala naib juara menerima RM2,000, sijil dan piala pusingan manakala pembahas terbaik pula menerima wang tunai RM1,000, sijil dan hadiah iringan. – HMetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.