Maklumat Siasatan 1MDB Tidak Akan Ditutup

Kuala Lumpur – Tidak akan berlaku sebarang penutupan maklumat berhubung siasatan terhadap syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kata Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

 

Bekas anggota Jawatankuasa Kira-Kira Kewangan Negara (PAC) itu memberi jaminan itu kerana PAC ditubuh atas landasan keterbukaan dan ketelusan.

 

Katanya, perkara itu terbukti apabila ia bukan sahaja dianggotai wakil daripada anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) malah turut melibatkan wakil daripada parti Pembangkang.

 

“Maklumat yang diterima oleh setiap anggota PAC adalah sama.

 

“Bila perkara dibentang, ia diketahui oleh semua anggota. Mana mungkin ada konspirasi, jika 30 orang mahu menutup atau membohong mengenai sesuatu kes termasuk isu 1MDB.

 

“Oleh itu saya memberi jaminan tidak ada ruang untuk penutupan isu sensitif seperti 1MDB,” katanya kepada pemberita pada majlis doa selamat dan kesyukuran sempena pelantikan beliau sebagai Timbalan Menteri Luar, di Kepala Batas pada Ahad, lapor Bernama.

 

Reezal menegaskan, jawatankuasa itu terdiri daripada hampir 30 anggota termasuk wakil daripada Ketua Audit dan Kementerian Kewangan.

 

Tiga lagi anggota PAC ialah Datuk Nur Jazlan Mohamed yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mas Ermieyati Samsudin (Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan) dan Datuk Wilfred Madius Tangau (Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi).

 

Reezal Merican yang juga Anggota Parlimen Kepala Batas berkata pelantikan beliau dan tiga lagi anggota PAC ke dalam Kabinet tidak akan mengganggu laporan siasatan 1MDB.

 

“Kebenaran akan muncul dan rakyat akan mengetahuinya,” tambahnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.