Koperasi Artis Lesapkan Duit Pelabur Bumiputera

KUALA LUMPUR – Seramai 38 usahawan Industri Kecil Sederhana (IKS) Bumiputera mendakwa ditipu sebuah koperasi melibatkan seorang artis terkenal membabitkan barangan bernilai RM4.8 juta yang sehingga kini belum dilunaskan bermula Februari lalu.

 

Bayaran itu tidak termasuk wang deposit RM3,000 yang harus dibayar setiap usahawan bagi setiap jenis produk yang dianggarkan berjumlah 85 produk yang rata-ratanya terdiri daripada makanan seperti lempeng pisang, tepung kek, pes asam pedas Melaka, pes kuah laksa dan sebagainya.

 

Wakil kepada 38 usahawan itu, Shamsul Shah Sulaiman berkata, koperasi itu menawarkan kepada usahawan untuk membantu memasarkan produk ke sebuah pasar raya terkenal di negara ini bagi tempoh setahun.

 

“Kami ditugaskan menyiapkan produk masing-masing mengikut jumlah yang dikehendaki serta membayar deposit RM3,000 bagi setiap produk kepada koperasi itu.

 

“Kami begitu teruja memandangkan inilah peluang kami untuk memasarkan produk, tanpa syak apa-apa kami tandatangan surat perjanjian pada 4 Februari lalu,” katanya kepada Sinar Harian dalam satu Sidang Media khas semalam.

 

Menurutnya, pihak koperasi berjanji akan membayar produk yang dibekalkan itu dalam tempoh 30 hingga 45 hari namun hingga kini mereka gagal melunaskannya.

 

“Dalam masa tuntutan dibuat, mereka secara tiba-tiba memaklumkan kontrak bersama pasar raya berkenaan dibatalkan atas alasan yang tidak munasabah.

 

“Mereka kemudiannya mengaku berjaya mendapat kontrak dengan sebuah pasar raya lain di Sabah dan berjanji akan pasarkan produk kami di sana,” dakwanya.

 

Beliau berkata, pada awalnya semua usahawan tidak mengesyaki sesuatu yang tidak kena.

 

“Sehinggalah terdapat di kalangan usahawan yang menerima cek bayaran namun kecewa dan terkilan selepas mendapati cek berkenaan adalah cek tendang.

 

“Selepas menunggu lama, pada 26 Mei lalu, kami ke pejabat koperasi itu di Damansara Damai untuk menuntut  penjelasan.

 

“Kami kecewa apabila dihalang daripada berjumpa dengan Ahli Lembaga koperasi oleh beberapa lelaki  ala-ala gengster hingga menyebabkan saya ditahan di lokap di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya selama sehari atas tuduhan mengugut.

 

“Kami cuma nak dapatkan hak kami melalui cara yang profesional namun mereka gagal beri maklum balas yang sebaiknya, bila kita nak jumpa elok-elok, mereka buat laporan polis kata kami ugut walhal usahawan yang pergi sana semua golongan wanita berusia 45 tahun ke atas,” katanya.

 

Shamsul Shah berkata, sudah lebih lima bulan usahawan menunggu koperasi melunaskan bayaran namun hingga kini gagal.

 

“Ekoran itu, semua usahawan buat laporan polis di balai yang berbeza namun tiada tindakan hingga memaksa kami membuat laporan di Bukit Aman dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) untuk tindakan lanjut.

 

“Justeru itu, kami berharap SKM, PDRM, KPDNKK, dan BPA mengambil tindakan tegas terhadap koperasi yang cuba memperdaya kami agar tiada lagi usahawan lain yang diperdaya mereka,” katanya.

 

Beliau turut mendesak agar pihak SKM memperkasa pemantauan supaya setiap Ahli Lembaga koperasi tidak menyalahgunakan kuasa.

 

Sungguh menyedihkan apabila terdapat di kalangan usahawan IKS itu terpaksa membuat pinjaman ah long sebagai modal untuk menyiapkan barangan itu dan mereka kini diburu Ah Long gara-gara gagal membayar semula pinjaman.

 

Mereka kini ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, sudahlah produk habis diambil koperasi malah duit yang menjadi harapan gagal dipulangkan.

 

Bekas kakitangan kerajaan, Norhafiza Zainal Abidin, 33,  berkata, dia dan suami amat teruja dengan tawaran itu dan kerana tidak cukup modal terpaksa meminjam ah long sebanyak RM3,000.

 

“Memandangkan bayaran itu gagal dilunaskan, kami dicari Ah Long sepanjang masa hingga menyebabkan kami terpaksa tumpang di rumah emak dan saudara lain.

 
“Lebih menyedihkan rumah kami di Keramat jadi sasaran disimbah cat,” katanya yang menghasilkan produk kicap Char Kuew Tiow.

 

Seorang lagi usahawan yang menghasilkan lempeng pisang, Roziah Wagini, 57, terpaksa meminjam wang berjumlah RM13,000 daripada saudara maranya sebagai modal menghasilkan produk itu.

 

Dia yang tinggal di Sungai Buloh berkata, dia kini terpaksa menebalkan muka apabila gagal membayar semula pinjaman itu kepada mereka mengikut tempoh yang dijanjikan.

 

“Kami amat sedih, barang kami diambil mereka dan duit gagal dipulangkan.

 

“Raya kali ini amat tidak bermakna dengan keadaan yang kami lalui ini sepanjang tempoh 10 tahun terlibat dengan perniagaan IKS,” katanya sebak.

 

Sementara itu, Sinar Harian cuba menghubungi Ahli Lembaga koperasi yang berpangkat Pengarah Urusan bagaimanapun beliau mengakui sudah diberhentikan daripada koperasi berkenaan sejak April lalu.

 

Beliau yang dilantik Pengarah Urusan koperasi hanya selama empat bulan mengakui sudah tidak ada kena mengena dengan koperasi itu.

 

Wartawan juga gagal menghubungi pengerusi koperasi yang juga seorang pelakon terkenal untuk mendapatkan penjelasan. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.