Jangan Kita Diperbodohkan Sertai Demonstrasi Jalanan, Kata Hadi Awang

KUALA LUMPUR – Penyokong-penyokong PAS diminta tidak menyertai sebarang aktiviti demonstrasi jalanan sehingga melibatkan pergaduhan dengan pihak berkuasa.

 

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata mereka tidak seharusnya dipergunakan untuk kepentingan pihak yang tidak bertanggungjawab sedangkan mereka hanya memerhati tanpa melibatkan diri dengan aktiviti tersebut.

 

Beliau yang baru mengekalkan kerusi Presiden PAS selepas menewaskan kumpulan profesional daripada PAS berkata segala permasalahan politik yang sedang melanda negara ini seharusnya diselesaikan mengikut lunas dan syariat Islam.

 

“Kita berdemonstrasi, bergaduh dengan pihak polis sedangkan orang lain memerhati.

 

“Jangan kita diperbodohkan (pihak tidak bertanggungjawab),” katanya semasa berucap di Perhimpunan Pihak 4.0 di Kuala Lumpur, Ahad malam.

 

Jelas Abdul Hadi lagi, demonstrasi jalanan akan mengundang keganasan sekiranya dibiarkan apatah lagi jika terdapat pihak yang membuat provokasi.

 

Beliau berkata demikian dipercayai mengulas mengenai perhimpunan haram yang diadakan di hadapan Pusat Membeli-belah Sogo pada Sabtu lalu yang menyaksikan 29 orang ditangkap pihak berkuasa.

 

Pemimpin profesional PAS, Mohamad Sabu yang tewas dalam pemilihan parti itu baru-baru ini meminta penyokong-penyokongnya menyertai perhimpunan BERSIH untuk mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meletak jawatan.

 

Beliau yang kini mengetuai Gerakan Harapan Baru (GHB) berkata, perhimpunan itu juga bagi mendesak sebuah kerajaan peralihan ditubuhkan untuk mentadbir negara sehingga diadakan pilihan raya bebas demi menyelamatkan Malaysia daripada kehancuran.

 

Perhimpunan BERSIH dirancang diadakan pada 29 dan 30 Ogos ini secara serentak di Kuala Lumpur, Kuching dan Kota Kinabalu. – TheRakyatPost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.