Duit Dalam Akaun PM Bukan Duit 1MDB – SPRM

Kuala Lumpur – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini mengatakan RM2.6 bilion yang disalurkan ke akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak merupakan sumbangan penderma.

 

Ia bukan dari syarikat berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) seperti didakwa pihak tertentu, katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi.

 

“Laporan hasil siasatan berkaitan dana RM2.6 bilion dirujuk dan dimaklumkan kepada Peguam Negara.

 

“Hasil siasatan mendapati, dana sebanyak RM2.6 bilion yang didakwa dimasukkan ke dalam akaun milik perdana menteri adalah sumbangan penderma, dan bukannya dari dana 1MDB,” kata SPRM.

 

Ia juga menerangkan, semasa Pasukan Petugas Khas ditubuhkan, siasatan SPRM hanya memfokuskan ke atas isu berkaitan dengan SRC International Sdn Bhd dan kemasukan dana RM2.6 bilion ke dalam akaun Najib itu.

 

Manakala, pihak Polis Diraja Malaysia pula katanya, menjalankan siasatan berkaitan dengan 1MDB, sementara Bank Negara Malaysia menjalankan siasatan berkaitan dengan kaedah dan tatacara kewangan.

 

Awal bulan lalu The Wall Street Journal (WSJ) melaporkan kira-kira AS$700 juta (RM2.67 bilion) dipindahkan di antara agensi kerajaan, bank dan entiti yang berkaitan dengan 1MDB dan berakhir di akaun peribadi perdana menteri dalam 5 deposit berasingan.

 

Najib menafikan dakwaan itu dan mendakwa ia konspirasi politik pihak lawan termasuk bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tetapi WSJ menegaskan siasatan mereka berlandaskan dokumentasi kukuh.

 

Pasukan petugas khas itu sebelum ini dilapor membekukan 6 akaun bank termasuk milik SRC International, bekas anak syarikat 1MDB yang kini milik Kementerian Kewangan.

 

Bagaimanapun, SPRM dalam kenyataannya hari ini berkata, siasatan pihaknya berkenaan isu SRC International yang melibatkan dana RM4 bilion masih berjalan.

 

Laman web Sarawak Report pada awal bulan lalu juga melaporkan RM42 juta dimasukkan ke akaun Najib dari SRC International yang mengambil pinjaman RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) atau KWAP.

 

 

Berikut adalah kenyataan penuh SPRM berhubung isu tersebut:

 

HASIL SIASATAN BERKAITAN DANA RM2.6 BILION

 

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ingin memaklumkan bahawa semasa Pasukan Petugas Khas ditubuhkan, siasatan SPRM hanya memfokus ke atas isu berkaitan dengan SRC International dan kemasukan dana sebanyak RM2.6 bilion ke dalam akaun YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak manakala Polis Diraja Malaysia pula menjalankan siasatan berkaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan Bank Negara Malaysia pula menjalankan siasatan berkaitan dengan kaedah dan tatacara kewangan.

 

Laporan hasil siasatan berkaitan dana RM2.6 bilion telah dirujuk dan dimaklumkan kepada Peguam Negara. Hasil siasatan mendapati dana sebanyak RM2.6 bilion yang didakwa dimasukkan ke dalam akaun milik YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak adalah sumbangan penderma, dan bukannya dari dana 1MDB.

 

Walau bagaimanapun, siasatan berkenaan isu SRC International yang melibatkan dana RM4 bilion masih berjalan oleh SPRM.

 

SPRM sekali memberi jaminan siasatan akan dijalankan dengan bebas, telus dan profesional. Diharap semua pihak akan bersabar dan memberi ruang kepada SPRM dalam menjalankan siasatan dengan menyeluruh.

 

Mengenai siasatan polis ke atas pegawai-pegawai SPRM, SPRM akan memberi kerjasama sepenuhnya.

 

SPRM mengulangi bahawa tiada pegawai SPRM yang terlibat dalam konspirasi mahu menjatuhkan Kerajaan. Tindakan yang diambil oleh SPRM adalah jelas semata-mata bagi menjalankan tugas dan fungsinya sebagai sebuah Suruhanjaya yang bebas.

 

Tanggungjawab SPRM adalah menjalankan siasatan berhubung kes-kes rasuah dan bukannya bertujuan untuk menjatuhkan mana-mana pihak termasuk Kerajaan.
Sebagai Suruhanjaya yang bebas, SPRM bertanggungjawab menjalankan siasatan dengan bebas, telus dan profesional tanpa fear or favour dan tanpa mengira siapa yang terlibat. SPRM tidak akan membiarkan mana-mana pihak untuk mempengaruhi atau campur tangan dalam siasatan yang dijalankan.

 

SPRM menyeru orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi sehingga siasatan mengenai perkara ini selesai.

 

SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
PUTRAJAYA
3 OGOS 2015

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.