Bunuh Ketua Muslimat PAS, Seorang Lagi Suspek Ditahan

Kota Bharu – Polis menahan seorang lagi suspek berusia 54 tahun bagi membantu siasatan kes bunuh membabitkan Ketua Muslimat PAS Cawangan Batu Melintang, Jeli, semalam.

 

Penahanan suspek beralamat di Tanah Merah itu menjadikan dua suspek kini ditahan polis selepas seorang suspek yang juga sepupu mangsa ditahan Jumaat lalu.

 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, ACP Ahmad Taufek Abdullah berkata, suspek ditahan di sebuah kedai kopi di Batu Melintang petang semalam.

 

Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek turut mengenali mangsa dan polis akan memohon perintah reman untuk menjalankan siasatan lanjut.

“Setakat ini kita masih mencari petunjuk kepada kejadian yang membawa kepada pembunuhan ini.

 

“Kita berharap sesiapa yang mempunyai sebarang maklumat mengenainya supaya tampil memberikan maklumat supaya kes ini dapat diselesaikan dengan secepat mungkin,” katanya pada sidang media di IPK Kelantan, di sini, hari ini.

 

Ahmad Taufek berkata, sebenarnya penahanan suspek kedua ini adalah hasil maklumat yang diberikan keluarga mangsa.

 

Katanya, sebaik menerima maklumat sepasukan anggota polis pergi ke sebuah kedai kopi di Kampung Kalai dan menahan suspek kira-kira jam 5 petang semalam.

 

“Polis akan menyiasat daripada semua sudut sama ada suspek adalah orang terakhir bersama mangsa. Maklumat awal mengatakan suspek dan mangsa saling mengenali,” katanya yang turut menjelaskan jarak antara mayat mangsa ditemui dengan rumahnya kira-kira satu kilometer.

 

Sebelum ini mangsa, Rudziah Shafiee, 50, yang juga guru mengaji dikatakan hilang sejak Selasa lalu sebelum mayatnya ditemui dalam keadaan terlentang dalam keadaan reput di tepi sungai.

 

Sehubungan itu, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan bagi membolehkan siasatan terperinci dilakukan.

 

Mangsa yang tinggal sendirian di Kampung Batu Melintang, di sini, itu dijumpai dekat Kuala Air Kepal, Sungai Pergau oleh seorang penduduk yang sedang menjala ikan. – The Rakyat Pos

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.