1MDB: Prosiding PAC Ditunda Hingga Selesai Perlantikan Baru

KUALA LUMPUR – 1Malaysia Development Bhd (1MDB) berkata ia menerima makluman rasmi bahawa prosiding siasatan dengan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) ditunda ke tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

 

Syarikat pembangunan strategik milik penuh kerajaan itu berkata, menerusi Kementerian Kewangan, ia menerima makluman rasmi daripada Setiausaha Dewan Rakyat/Setiausaha PAC bahawa sesi PAC yang dijadualkan pada 4, 5, 6, 17 dan 18 Ogos serta 8 dan 10 September 2015 sudah ditunda.

 

“Sekali lagi kami mengulangi hasrat kami untuk memberikan sepenuh kerjasama kepada PAC dan kami menanti untuk hadir dalam sesi PAC pada tarikh yang baharu.

 

“Kami menghormati PAC sebagai pihak berkuasa yang sah dan forum yang paling tepat untuk menjawab sebarang persoalan berkenaan 1MDB.

 

“Kami mempunyai keyakinan bahawa jawatankuasa dwi-partisan ini akan memberi peluang seadilnya untuk 1MDB memberi penjelasan mengenai kedudukan syarikat kepada pihak berkuasa yang sah, mengikut keperluan proses wajar,” kata 1MDB dalam kenyataan itu.

 

PAC dijadualkan memanggil Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1MDB, Arul Kanda Kandasamy serta bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi pada 4 dan 5 Ogos.

 

Sementara bekas CEO 1MDB, Hazem Abdul Rahman yang berkhidmat dari Mac 2013 hingga Januari 2015 dipanggil selepas itu.

 

Pada 29 Julai, Nur Jazlan berkata semua prosiding PAC untuk Ogos, termasuk siasatan terhadap 1MDB akan diberhentikan buat sementara waktu disebabkan lantikan Kabinet.

 

Katanya, ia hanya akan diteruskan selepas ahli jawatankuasa (AJK) baharu diumumkan pada persidangan Dewan Rakyat akan datang pada Oktober.

 

Pada 30 Julai, Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata prosiding siasatan terhadap 1MDB tidak boleh diteruskan hingga pengerusi PAC yang baharu dilantik.

 

Beliau dipetik laporan portal BNBBC berkata, mesyuarat rutin PAC juga tidak boleh diadakan bagi mengelakkan sebarang pertikaian atau isu berbangkit mengenai kesahihan prosiding pada masa akan datang ketika kerusi pengerusi tidak diisi.

 

Katanya, walaupun Peraturan Mesyuarat 77 (3) membolehkan seseorang AJK PAC mempengerusikan mesyuarat menggantikan pengerusi atau naib pengerusi, ia hanya terpakai dalam hal 2 jawatan tertinggi itu tidak dapat hadir atas sebab uzur atau sebab tertentu lain, dan bukannya atas sebab pengosongan jawatan. – BHarian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.